5 sekeluarga lafaz Dua Kalimah Syahadah

5 sekeluarga lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Feb – Sebuah keluarga seramai lima orang telah menerima hidayah dan memilih agama Islam sebagai pegangan hidup baru mereka setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah, di sebuah rumah di Jalan Dipa Negara di sini, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin. Turut hadir ialah Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu.

Awang Galau bin Pagak, 69, berbangsa Dusun telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Galau bin Abdullah Pagak, dan isterinya Dayang Tandok anak Jadam, 66, berbangsa Iban telah memilih nama Islamnya sebagai Dayang Nur Suryanie binti Abdullah Jadam.

Manakala itu, adik kepada Awang Galau, Awang Bandang bin Pagak, 67, telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Bandang bin Abdullah Pagak, dan dua orang anak angkat Awang Galau, iaitu Awang Erddy Iskandar bin Rosni, 17 dan Awang Razemi bin Jandi, 26, masing-masing memilih nama Islam mereka sebagai Awang Mohd Erddy Iskandar bin Abdullah Rosni dan Awang Muhammad Razemi bin Muhammad Jandi.

Sebuah keluarga telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Jalan Dipa Negara.
Sebuah keluarga telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Jalan Dipa Negara.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, sebelum pengislaman berlangsung, disusuli kemudiannya penyampaian cenderahati kepada kesemua saudara baru yang diraikan dengan disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Menurut Bahagian Dakwah Daerah Belait, setakat ini statistik orang yang memeluk ugama Islam bagi Daerah Belait mulai awal bulan Januari 2016 hingga 19 Februari lalu ialah 13 orang.

Manakala itu, statistik orang memeluk agama Islam bagi daerah ini, pada tahun lepas ialah 96 orang.

ARTIKEL YANG SAMA