5 terima Kurnia Tambang Haji

5 terima Kurnia Tambang Haji

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Lima orang saudara baru yang layak dan memenuhi syarat-syarat telah disokong bagi menunaikan fardu haji tahun ini, menerima Kurnia Tambang Haji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menurut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan iaitu sebanyak $4,500 setiap seorang.

Mereka ialah Awang Mohd Amiruldine bin Mohd Nasiruddin (Line bin Tangon), Awang Muhamad Nur Alief Shahfie bin Abdullah (Chong Chin Poh), Awang Muhammad Nendaroh bin Dato Kornia Diraja Gadong (Nendaroh bin Dato Kornia Diraja Gadong), Dayang Nur Lee Chin binti Abdullah Lim (Lim Lee Chin), dan Dayang Munirah binti Abdullah (Tsang Mun Yee).

Tiap-tiap seorang daripada mereka dikurniakan bantuan kewangan selain daripada tambang dan masing-masing akan menerima sebanyak $8,000 bagi mencukupkan bayaran pakej haji Darussalam Holding Sendirian Berhad iaitu Pakej Zamrud yang berharga $12,500.

Manakala itu, tiap-tiap seorang daripada mereka juga diberikan bantuan kewangan sebanyak $2,000 bagi perbelanjaan persendirian iaitu wang saku. Bantuan kewangan bagi mencukupkan bayaran pakej dan wang saku itu adalah daripada kumpulan wang zakat asnaf mualaf.

Para penerima kurnia tambang haji bergambar ramai bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom.
Para penerima kurnia tambang haji bergambar ramai bersama Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom.

Pengurniaan tambang haji ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka bersama-sama umat Islam yang lain menunaikan fardu haji pada musim haji tahun ini.

Ia juga menggambarkan betapa tingginya pemedulian Baginda Sultan terhadap saudara-saudara baru di negara ini.

Pengurniaan ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan penghayatan Agama Islam di kalangan saudara-saudara baru agar lebih sempurna dan mantap, bukan sahaja dari segi perlaksanaan ibadah yang terdapat dalam syariat Islam khususnya perlaksanaan rukun Islam kelima iaitu menunaikan fardu haji ke Mekah.

Majlis Penyerahan Pembayaran Pakej Haji kepada Pengarah Urusan Darussalam Holding Sdn Bhd yang berjumlah $40,000, hasil daripada Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada saudara-saudara baru yang terpilih berlangsung di Dewan Multaqa, Tingkat Bawah, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Hadir untuk menyampaikan pembayaran pakej haji kepada Darussalam Holding Sdn Bhd ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

ARTIKEL YANG SAMA