5 terima Sumbangan Amal Ramadan

5 terima Sumbangan Amal Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Dalam usaha memberi kegembiraan kepada golongan yang memerlukan di negara ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah menyampaikan Sumbangan Amal Ramadan kepada lima penerima di Daerah Brunei dan Muara yang terpilih tahun ini.

Rombongan menyampaikan sumbangan ke rumah-rumah para penerima berkenaan telah diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KKBS, pemangku pengarah pembangunan masyarakat, ketua-ketua jabatan dan para pengarah di KKBS.

Yang Berhormat Pehin, semasa ditemui dalam kunjungan berkenaan, melahirkan harapan bahawa dengan sumbangan berkenaan akan dapat menggembirakan mereka di bulan yang mulia ini.

Menurut beliau, kegiatan ini merupakan aktiviti tahunan JAPEM sempena bulan Ramadan dengan memberikan sumbangan berupa hamper dan barang keperluan harian kepada penerima yang terpilih.

Yang Berhormat Pehin dan Datin Paduka Hajah Adina bersama Dayang Saidah semasa kunjungan menyampaikan Sumbangan Amal Ramadan JAPEM bagi Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin dan Datin Paduka Hajah Adina bersama Dayang Saidah semasa kunjungan menyampaikan Sumbangan Amal Ramadan JAPEM bagi Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Datin Paduka Hajah Adina.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Datin Paduka Hajah Adina.

“Penerima bantuan ini adalah mereka yang tergolong dalam keluarga susah, orang tua dan yang mengalami masalah kesihatan di samping mereka yang berdaftar menerima bantuan bulanan kebajikan JAPEM”.

Selain memberikan bantuan seumpama ini, tambah beliau, kerja-kerja kemasyarakatan melibatkan sukarelawan bagi membantu mereka yang susah dan orang-orang sakit turut dilaksanakan.

“Kerja-kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh badan-badan sukarelawan di negara ini seperti membersihkan kawasan rumah golongan yang susah dan membantu orang-orang sakit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut mengingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab bukan saja kepada negara dan kerajaan tapi semua anggota masyarakat untuk memeduli atau memberi perhatian kepada orang-orang yang memerlukan bantuan ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda supaya tidak merasa segan dan jangan berhalangan untuk melibatkan diri dalam kerja sukarelawan bagi memberikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan di negara ini.

Dalam aktiviti berkenaan, rombongan terlebih dahulu membuat kunjungan ke kediaman Awang Abdul Rahman bin Haji Amat/Mohamed, 57, di Kampung Kasat yang merupakan penerima bantuan kebajikan bulanan.

Awang Abdul Rahman yang sedang menjalani rawatan di Gleneagles JPMC tinggal di rumah itu bersama isteri beliau yang merupakan suri rumah tangga dan empat orang anak mereka.

Kemudian, rombongan beredar ke kediaman Dayang Rohani binti Emran, 49, di Kampung Rimba di mana beliau tinggal bersama kakaknya.

Beliau yang pernah terlibat dalam kemalangan kini memerlukan tangki oksigen untuk bernafas, yang dibelinya sendiri dengan menggunakan wang simpanan semasa beliau masih membuat tenunan kain dan air oksigen pula dibekalkan oleh pihak Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Penerima seterusnya ialah Dayang Faridah binti Kamis, 44, di Kampung Tanah Jambu, yang mempunyai tujuh orang anak dan tinggal di sebuah pondok yang dibina menggunakan bahan kayu terpakai dan atap zink terbuang malah tidak mempunyai bekalan elektrik.

Rombongan kemudian mengunjungi Awang Khairul Anwar Khalid bin Kamal, 20, di Kampung Tanah Jambu. Beliau yang menghidap leukemia, pada masa ini mengikuti latihan di Pusat Bahagia, JAPEM di Kampung Pulaie.

Kunjungan diteruskan ke rumah penerima kelima Dayang Saidah binti Salleh, 88, merupakan seorang balu yang tinggal bersama anak lelakinya di Kampung Sungai Hanching, dan hanya menerima pencen umur tua serta mempunyai masalah pendengaran.

Semasa kunjungan-kunjungan tersebut, Yang Berhormat Pehin menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan hamper Hari Raya bagi membantu para penerima dalam persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti.

ARTIKEL YANG SAMA