5 tonggak kawal GMO

5 tonggak kawal GMO

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Dalam usaha untuk mengawal selia kemasukan dan kesan jangka panjang yang diakibatkan oleh Pengubahsuaian Organisma secara Ginetik (GMO) ke atas kehidupan rakyat, sebuah badan kawal selia iaitu Pihak Berkuasa Kebangsaan Pengubahsuaian Genetik (NAGM) yang memikul lima tonggak utama perlu ditubuhkan.

Perkara itu disarankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU), Hajah Normah Suria Hayati binti PJDSMDSU (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri ketika merasmikan Seminar Rangka Kerja Keselamatan Bio di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Hotel Rizqun International, Gadong, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, antara tonggak yang perlu adalah penubuhan NAGM mestilah menerapkan peranan dan bidang tanggungjawab dengan jelas kerana badan itu akan bertanggungjawab terhadap semua perkara yang berkaitan dengan pengubahsuaian genetik, penyediaan khidmat nasihat terhadap pengubahsuaian organisma hidup (LMO) dan keselamatan bio kepada kerajaan.

Tanggungjawab itu juga termasuk fungsi khusus seperti menghasilkan standard, dan garis panduan, perkakasan dan amalan serta kawalan undang-undang dan penghasilan rangka kerja.

“Perlu juga dikenal pasti peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedia ada di negara ini yang boleh diguna pakai dalam pelaksanaan peraturan keselamatan bio,” katanya.

Hajah Normah Suria Hayati ketika berucap di majlis perasmian Seminar Rangka Kerja Keselamatan Bio, kelmarin.
Hajah Normah Suria Hayati ketika berucap di majlis perasmian Seminar Rangka Kerja Keselamatan Bio, kelmarin.
Antara para tetamu dan jemputan yang hadir di majlis seminar yang diadakan di Hotel Rizqun International, Gadong.
Antara para tetamu dan jemputan yang hadir di majlis seminar yang diadakan di Hotel Rizqun International, Gadong.

Faktor seterusnya ialah rangka kerja keselamatan bio dan garis panduannya harus merangkumi aktiviti yang membabitkan tanaman GMO atau produk daripadanya yang perlu disebarkan kepada umum bagi menjamin kejayaan pelaksanaan garis panduan keselamatan bio oleh NAGM Negara Brunei Darussalam yang mendapat persetujuan daripada pihak berkepentingan.

Beliau menjelaskan, langkah paling penting adalah untuk membangunkan keupayaan dalam modal insan dan kemudahan yang dapat membantu membangunkan program keselamatan bio itu.

Ketika menekankan mengenai pelaksanaan garis panduan keselamatan bio, Hajah Normah Suria Hayati menegaskan, peraturan keselamatan bio itu perlulah direka bentuk dengan baik bagi membolehkan pihak kementerian menguruskan risiko dengan cekap dan mengambil kira beberapa faktor.

Antara faktor tersebut adalah dengan mengadakan kajian, semakan dan penilaian ke atas rangka kerja keselamatan bio dari negara-negara ASEAN lain, undang-undang dan peraturan antarabangsa lain yang sesuai diguna pakai di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, beliau juga menyarankan supaya keupayaan pengurusan keselamatan bio yang berkaitan dengan bioteknologi juga perlu disusuli dengan penaksiran dan inventori, dan rangka kerja yang harus dipatuhi oleh jabatan yang berkaitan.

Majlis perasmian seminar sehari berkenaan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), KPSSU, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Seminar itu merupakan salah satu aktiviti di bawah projek Pembangunan dan Pengendalian Rangka Kerja Bio Keselamatan Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam yang sedang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Agri-makanan dengan kerjasama Konsultan Karya Bumi Planning.

Objektif utama seminar adalah untuk membincangkan pembentukan rangka kerja perundangan dan peraturan keselamatan bio bagi pengawalan dan penguatkuasaan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan organisma dan produk makanan/pertanian yang diubah secara genetik di negara ini. Penganjur seminar juga telah mengundang dua orang penceramah, iaitu Dr Sufian bin Jusoh dan Dr M.A. Badri bagi membincangkan topik-topik penting dalam pembentukan garis panduan keselamatan bio.

ARTIKEL YANG SAMA