5 warga China didakwa miliki kad ATM palsu

5 warga China didakwa miliki kad ATM palsu

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160627_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Lima orang lelaki warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memiliki kad ATM palsu.

Tiada pengakuan diambil daripada Zhong Xiaohui, 41, Xie Lirong, 37, Lai Haiyang, 51, Zhong Xiuying, 34 dan Zhong Jianyuan, 46, yang berdepan dakwaan memiliki kad ATM palsu yang mempunyai label VIP antara 21 hingga 25 Jun 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abdul Raafe’ bin Haji Ibrahim memberitahu mahkamah, kes itu timbul apabila pegawai dari sebuah bank membuat laporan polis selepas mencurigai adanya penggunaan kad ATM palsu di ATM bank tersebut.

Siasatan yang dijalankan membawa kepada penangkapan kelima-lima tertuduh di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di mana polis menemui kad ATM palsu, telefon bimbit dan komputer riba.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 474 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, dan juga denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abdul Raafe’ memohon untuk kes ditangguhkan selama dua minggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin bagaimanapun, memberi tempoh selama seminggu dan menetapkan 4 Julai untuk sebutan kes, dan memerintahkan dua daripada tertuduh tersebut ditahan reman di Balai Polis Berakas dan yang lain di Balai Polis Pusat.

ARTIKEL YANG SAMA