50 Alumni AS–Brunei dirai

50 Alumni AS–Brunei dirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN,  29 April – Kira-kira 50 orang ahli alumni Program Pertukaran Amerika Syarikat-Negara Brunei Darussalam diraikan pada majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, malam ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen yang berkata, resepsi bertajuk ‘Menghubung Alumni’ itu bertujuan untuk menghimpunkan peserta alumni program pertukaran itu dan mengiktiraf penyertaan masing-masing dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan AS.

“Kami ingin memaklumkan kepada semua bahawa kami sentiasa menghargai  persahabatan ini dan kami ingin terus berhubungan dengan anda dan supaya anda semua terus berhubungan dan satu sama lain di dalam kumpulan ini,” ujarnya lagi semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Katanya, AS dan Negara Brunei Darussalam telah menjalinkan hubungan persahabatan yang menjangkau 170 tahun sejak kapal AS, USS Constitution berlabuh di pelabuhan negara ini pada 1845.

TYT Craig Allen (duduk, empat kiri) bersama alumni program pertukaran Amerika Syarikat-Brunei Darussalam.
TYT Craig Allen (duduk, empat kiri) bersama alumni program pertukaran Amerika Syarikat-Brunei Darussalam.

Lawatan itu juga menandakan lawatan rasmi pertama bagi perwakilan kedua-dua negara bertemu di Brunei yang seterusnya telah menjalinkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.

Beliau menjelaskan bahawa AS mengenal pasti bahawa pertukaran kebudayaan secara bebas, maklumat dan idea boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang berkekalan dalam hubungan antarabangsa.

Atas dasar itu juga, kerajaan AS telah mewujudkan beberapa program yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara satu pertemuan yang mesra.

Melalui Biro Pendidikan dan Hubungan Kebudayaan, Jabatan Negara AS mengendalikan lebih 100 program yang mengundang peserta dari negara asing ke negara itu serta menghantar rakyat negara itu ke negara luar untuk mempelajari ciri kebudayaan masing-masing.

Program pertukaran itu termasuk sektor profesional dan persendirian, akademik, kebudayaan, belia dan pertukaran dalam bidang sukan.

Antara program yang telah disertai oleh rakyat negara ini termasuk Program Pelajar Asing Fullbright, Program Lawatan Cendekiawan AS-ASEAN, Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) dan Program Pemimpin Remaja Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA