50 anak yatim Belait, Seria tidak diabaikan

50 anak yatim Belait, Seria tidak diabaikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Julai – Kira-kira 50 orang anak yatim dari kawasan Belait dan Seria telah menerima sumbangan derma daripada Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan turut menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman. Turut menyempurnakan penyampaian
sumbangan tersebut ialah Pengerusi Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd, Haji Malai Abdul Hamid bin Haji Malai Mashhor.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Yusof bin Dulamin, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) serta kakitangan syarikat berkenaan.

Pengerusi Pengurus Komiti, Malai Shamil Faris bin Malai Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya memberitahu bahawa, melalui cadangan Pengerusi Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd, Malai Haji Abdul Hamid bin Haji Malai Mashhor, syarikat itu merancang untuk melaksanakan projek derma anak yatim di bawah Perbadanan Yayasan Mashhor.

Pegawai Daerah Belait menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim pada majlis anjuran Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd.
Pegawai Daerah Belait menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim pada majlis anjuran Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd.

“Projek itu nanti akan dikendalikan oleh saya sendiri selaku anak beliau dan juga selaku Pengerusi Pengurus Komiti dengan dibantu oleh ahli-ahli komiti yang dilantik,” jelasnya.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh anak-anak Allahyarhamah Wan Krisnadi binti Haji Osman, disusuli dengan ceramah khas bertajuk ‘Fadhilat Anak Yatim’ yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Kolej Universiti Ugama Seri Begawan, Awang Zulkifli bin Haji Zakaria.

Ini diteruskan dengan bacaan Tahlil dan doa arwah, serta penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Majlis penyampaian kepada anak-anak yatim ini merupakan projek tahunan syarikat berkenaan yang antara lain bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penjaga anak-anak yatim dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri, selain bagi menceriakan mereka dalam sama-sama meraikan hari yang bahagia walaupun tanpa orang yang disayangi disisi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA