50 askar maut diserang militan Shebab

50 askar maut diserang militan Shebab

NAIROBI, Kenya, 2 Sept (AFP) – Sekurang-kurangnya 50 askar Kesatuan Afrika (AU) dipercayai terbunuh manakala 50 yang lain hilang selepas kumpulan militan Shebab menakluki sebuah kem tentera di selatan Somalia, menurut pegawai tentera Barat.

“Dianggarkan sekurang-kurangnya 50 tentera AMISOM terbunuh,” menurut satu nota taklimat yang dihantar oleh pegawai tentera Barat kepada diplomat dan dilihat oleh AFP.

Nota itu turut menjelaskan sekitar 100 askar lagi tidak diketahui nasib mereka selepas serangan itu.

Sekutu al-Qaeda Somalia itu menyatakan, serangan di daerah Janale, 80 kilometer barat daya Mogadishu di wilayah Lower Shabelle, adalah serangan balas dendam atas kematian tujuh orang awam oleh tentera Uganda pada satu majlis perkahwinan di bandar Merka Julai lalu.

AMISOM menyatakan bahawa kem itu dikendalikan oleh askar dari Uganda.

AMISOM menyatakan setakat ini ia masih belum dapat memastikan bilangan sebenar yang maut.

Sementara itu, sumber tentera Barat menyatakan serangan bermula dengan kumpulan militan memusnahkan dua jambatan bagi memutuskan hubungan jalan.

Sebuah kereta membawa bom kemudian merempuh masuk ke kem diikuti sekurang-kurangnya 200 militan Shebab.

Saksi berkata, militan Shebab mengambil alih kem berkenaan, mengambil senjata dan mengangkat mayat ke dalam trak.

Kumpulan itu sebelum ini mengumpul mayat askar untuk digunakan dalam video propaganda mereka.

“Mereka telah mengumpul mayat tentera, saya melihat hampir 30 askar terbunuh dalam pertempuran itu,” kata seorang penduduk tempatan, Hussein Idris.

Kumpulan itu berjuang untuk menggulingkan kerajaan di Mogadishu yang disokong masyarakat antarabangsa dan dilindungi 22,000 tentera AMISOM dari Burundi, Djibouti, Ethiopia, Kenya dan Uganda.

ARTIKEL YANG SAMA