50 buah rumah musnah dalam kebakaran

50 buah rumah musnah dalam kebakaran

TAWAU, 2 Ogos – Kira-kira 50 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Tengah di sini tengah hari tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Ismaidi Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.39 tengah hari dan menghantar dua jentera bomba bersama 30 anggota ke tempat kejadian.

Beliau berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Sementara itu seorang mangsa Aidah Osman, 47, berkata ketika kejadian beliau tidak berada di rumah dan hanya mengetahuinya ketika dihubungi anaknya yang berada di Kota Kinabalu, melalui WhatsApp.

“Saya terus bergegas pulang dan mendapati rumah saya telah musnah dijilat api. Ini adalah kali ketiga saya dan keluarga menghadapi musibah seperti ini, selepas kebakaran di Kampung Titingan pada 1989 dan kebakaran di Kampung Hidayat pada 1994 yang turut memusnahkan rumah kami,” katanya.

Kebakaran di Tanjung Batu itu merupakan yang kedua dalam tempoh lima hari. – Bernama