50 maut serangan peluru berpandu

50 maut serangan peluru berpandu

AMMAN, 23 Ogos (Reuters) – Sekurang-kurangnya 50 mayat dikeluarkan daripada runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu tentera Syria mengenai sasaran kawasan penduduk di timur laut Damsyik yang dikuasai pemberontak, menurut para pekerja penyelamat.

Mereka berkata lebih banyak mayat dipercayai masih berada di bawah runtuhan bangunan yang diduduki berpuluh-puluh keluarga di bandar Douma, kira-kira 15 kilometer di timur laut Damsyik, dengan berpuluh-puluh mangsa dikejarkan ke hospital terbuka, ramai di kalangan mereka mengalami kecederaan serius.

Para pekerja penyelamat berkata 20 mayat sudah dikenal pasti. Kira-kira 32 lagi mangsa masih belu dikenal pasti dan jumlah yang maut dijangka meningkat ketika para pekerja pertahanan awam meningkatkan usaha mengesan di bawah runtuhan bangunan empat tingkat yang menjadi sasaran serangan.

“Masih ramai anggota keluarga yang masih berada di bawah runtuhan. Kami tidak dapat mendekati mereka kerana proses memunggah runtuhan perlu dilakukan dengan penuh cermat,” kata Majd, seorang pegawai dari pasukan pertahanan awam Syria, kumpulan yang beroperasi di kawasan yang diduduki pemberontak.

Korban jiwa terkini berikutan serangan udara Ahad lepas di kawasan pasar yang sibuk di kawasan yang sama mengorbankan sekurang-kurangnya 100 orang.

ARTIKEL YANG SAMA