50 militan Al-Qaeda maut dalam serangan AS

50 militan Al-Qaeda maut dalam serangan AS

ADEN, 23 Mac (Reuters) – Kira-kira 50 militan terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kem latihan Al-Qaeda di pergunungan selatan Yaman, kata pegawai tempatan dan paramedik hari ini.

Serangan itu berlaku ketika rekrut Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) berbaris untuk makan malam di sebuah kem, barat bandar pelabuhan Mukalla di pantai selatan Yaman.

Pentagon mengatakan kelmarin bahawa serangan udara AS ke atas kem latihan AQAP telah membunuh puluhan para pejuang namun tidak memberi maklumat lanjut.

Sumber Yaman mengatakan sekurang-kurangnya 50 orang terkorban dan 30 lagi cedera. Serangan udara itu telah mengakibatkan kebakaran besar dalam kem, kata penduduk.

“Pesawat menyerang ketika orang-orang Al-Qaeda berdiri dalam barisan untuk menerima hidangan makan malam mereka,” kata pegawai tempatan, yang meminta untuk tidak dinamakan, memberitahu Reuters menerusi telefon.

Penduduk Yaman pada awalnya mengatakan serangan ke atas pangkalan itu dilakukan oleh pesawat perang dari pasukan gabungan diketuai Saudi yang beberapa tahun yang lalu telah cuba untuk menghentikan kumpulan Houthi bersekutu Iran dari menyelesaikan pengambilalihan ke atas negara itu.

AQAP telah mengeksploitasi perang untuk mengembangkan kawalannya ke atas Yaman, dan Mukalla, bandar wilayah Hadramout, tahun lepas dan merekrut lebih ramai pengikutnya.

AS menganggap AQAP, kumpulan yang terbentuk dengan gabungan Yaman dan Saudi pada 2009, sebagai salah satu rangkaian paling maut yang diasaskan Osama bin Laden.

ARTIKEL YANG SAMA