50 negara beri ‘sumbangan’ bagi pasukan pengaman PBB

50 negara beri ‘sumbangan’ bagi pasukan pengaman PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 29 Sept (AFP) – Lebih 50 buah negara memberi jaminan 40,000 tentera bagi pasukan pengaman PBB semalam pada mesyuarat yang diterajui Amerika Syarikat (AS) yang diadakan untuk mengukuhkan misi yang tegang akibat meningkatnya krisis sejagat.

China menambah sumbangannya, mendahului dalam menetapkan pasukan polis bersiap sedia dalam bilangan sehingga 8,000 manakala Colombia membuat tawaran kali pertama dengan seramai-ramainya 5,000 anggota.

Jaminan itu merupakan pemangkin besar bagi pasukan pengaman PBB, yang bergantung pada sumbangan sukarela dari negara-negara anggota PBB untuk mengendali 16 misi di seluruh dunia.

Presiden AS Barack Obama memberitahu para pemimpin bahawa operasi keamanan ‘mengalami ketegangan yang tidak pernah dialami sebelum ini’ dan dihantar ke ‘konflik yang lebih sukar dan berbahaya’.

“Kami tahu operasi keamanan bukanlah penyelesaian kepada setiap masalah,” Obama memberitahu mesyuarat yang diadakan ketika menghadiri Perhimpunan Agung PBB.

“Tetapi mereka masih terus menjadi salah satu alat paling penting di dunia untuk menangani konflik bersenjata,” katanya lagi.

Sumbangan baru itu termasuklah helikopter, unit kejuruteraan, hospital lapangan dan kepakaran meledakkan bom yang benar-benar diperlukan untuk mengukuhkan misi damai PBB.

Obama memulakan mesyuarat dengan mengumumkan penyelarasan 30,000 tentera baru bagi misi damai tetapi selepas para pemimpin bergilir-gilir di podium untuk mengumumkan sumbangan, jumlah mencecah 40,000.

Pihak berperanan penting dalam pasukan pengaman di Afrika, Rwanda menawarkan dua helikopter gempur, dua hospital lapangan, unit polis kesemuanya wanita dan 1,600 anggota baru.

Indonesia menambah penglibatannya dengan latihan dan 2,700 anggota baru sementara India menjamin 850 tentera tambahan.

Perdana Menteri Britain David Cameron mengumumkan 70 anggota bagi misi Kesatuan Afrika-PBB di Somalia dan sehingga 300 tentera bagi Selatan Sudan, yang mana misi PBB berdepan dengan salah satu krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.