50 pelajar ITB sertai lawatan sambil belajar

50 pelajar ITB sertai lawatan sambil belajar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 23 Okt – Seramai 50 orang pelajar Institut Teknologi Brunei (ITB) yang mengambil Kursus Kejuruteraan Petroleum, telah menyertai lawatan sambil belajar ke Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd dan Syarikat Halliburton di Sungai Bera, Seria hari ini.

Penyelaras dan juga pensyarah utama, Dr. Nurul Hasan ketika ditemu bual Media Permata berkata, rombongan penuntut berkenaan merupakan ahli Society Petroleum Engineers – Institute Technology Brunei (ITB-SPE).

Lawatan ini, ujarnya, merupakan yang kedua diadakan dengan tujuan untuk memberi pengetahuan mendalam kepada para penuntut mengenai dua buah syarikat gergasi dalam industri minyak dan gas ini.

Menurutnya lagi, lawatan di mana mereka ditunjukkan cara-cara pengendalian petroleum dan juga fungsi-fungsinya, bermatlamat untuk mendidik dan mempersiapkan para pelajar mengenai kerja-kerja dan aplikasi yang dilakukan oleh syarikat-syarikat tersebut untuk masa depan mereka.

Pelajar ITB bersama Dr. Nurul Hasan mendengar taklimat daripada kakitangan Halliburton semasa lawatan mereka di ibu pejabat syarikat itu kelmarin.
Pelajar ITB bersama Dr. Nurul Hasan mendengar taklimat daripada kakitangan Halliburton semasa lawatan mereka di ibu pejabat syarikat itu kelmarin.

“Ramai pelajar-pelajar dari ITB ini akan menamatkan kursus mereka dan akan meluangkan masa untuk belajar bagi fasa kursus kedua di luar negara dan selepas mereka menamatkan pengajian mereka, pelajar-pelajar ini akan memulakan ‘internship’ mereka di beberapa buah syarikat di bawah industri minyak dan gas.

“Di sini ia diharapkan akan dapat memberi mereka persediaan yang secukupnya sebelum dan apabila mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan,” kata Dr. Nurul Hasan lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas bahawa pada ketika ini bilangan jurutera petroleum tempatan amat diperlukan dan dari lawatan ini diharap akan dapat memupuk lagi minat mereka terhadap bidang tersebut serta pengetahuan yang dipelajari dari sini akan berguna kepada mereka.

ARTIKEL YANG SAMA