50 pengusaha sertai Festival Keluarga

50 pengusaha sertai Festival Keluarga

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Zarkasyi Event Management buat julung kalinya akan mengadakan Festival Keluarga selama empat hari bermula esok (31 Mac) di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Beberapa aktiviti menarik telah disediakan sepanjang festival itu nanti seperti Peraduan Mewarna yang dibukakan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun dan bagi dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan dijalankan pada 3 April 2016 bermula jam 2 petang.

Peserta-peserta yang berminat mengikuti peraduan itu nanti, bolehlah mendaftar atau mengisikan terus borang penyertaan di sepanjang pesta itu diadakan atau berhubung terus di talian 8784742.

Selain itu, aktiviti lain seperti Face painting, Hand henna, Snookball dan Ecarts (aktiviti outdoor) juga akan dijalankan sepanjang pesta tersebut.

Di samping itu, lebih daripada 50 pengusaha di negara ini akan menyertai festival itu nanti yang mana berpeluang bagi mempromosikan produk-produk mereka tersendiri di samping dapat menguatkan lagi kerjasama yang erat antara pengusaha-pengusaha tempatan.

Pesta itu bertujuan mewujudkan platform kerjasama di antara peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan belia di negara ini untuk sama-sama menjana ekonomi negara dan menggalakkan orang ramai berbelanja di negara sendiri lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan ini.

Selain itu, ia diadakan adalah untuk meluangkan masa serta mengeratkan lagi hubungan ibu bapa bersama anak-anak dan ahli keluarga mereka bagi mengunjungi Festival Keluarga ini dengan mengikuti beberapa aktiviti menarik.

Orang ramai adalah dialu-alukan mengunjungi Festival Keluarga ini nanti dalam sama-sama untuk memeriahkan lagi hujung minggu bersama ahli keluarga mereka.

ARTIKEL YANG SAMA