50 republikan tolak pencalonan Trump

50 republikan tolak pencalonan Trump

WASHINGTON, 9 Ogos – Lima puluh pegawai kanan keselamatan kebangsaan Republikan telah mengeluarkan penolakan mereka terhadap pencalonan Donald Trump bagi calon Rumah Putih bagi parti itu, dengan memberi amaran dia akan menjadi presiden ‘yang paling semberono dalam sejarah Amerika,” jika dilantik.

Kumpulan itu, yang sebilangan mereka telah pun mengumumkan mereka tidak akan mengundi Trump, termasuklah bekas ketua keselamatan negara, pengarah-pengarah perisikan, penasihat-penasihat kanan presiden dan seorang bekas wakil perdagangan AS.

Mereka pernah berkhidmat di bawah presiden-presiden Republikan, dari Richard Nixon hingga George W Bush.

“Kami yakin dia akan menjadi presiden berbahaya dan akan meletakkan negara dalam risiko keselamatan dan kesejahteraan negara,” mereka menulis dalam satu kenyataan yang disiarkan di New York Times semalam.

Penafian mereka terhadap calon presiden Republikan adalah ekoran satu lagi rintangan bagi Trump, apabila senator berpengaruh AS, Senator Susan Collins hari ini berkata Trump ‘tidak bernilai’ bagi jawatan tertinggi Amerika dan Trump tidak akan mendapat sokongannya.

“Saya tidak akan mengundi Donald Trump bagi jawatan presiden. Ini bukan keputusan yang saya buat dengan melulu, ini adalah kerana saya Republikan sepanjang hayat.

Tetapi Donald Trump tidak memperlihatkan nilai-nilai bersejarah Republikan mahupun pendekatan merangkumi untuk mentadbir yang penting untuk menyelesaikan perpecahan di negara kita,” Collins menulis dalam artikel pendapat yang disiarkan dalam Washington Post hari ini.

Sementara pakar-pakar keselamatan AS tidak menyatakan mereka akan mengundi bagi Hillary Clinton, calon Demokrat – mereka sebenarnya melahirkan keraguan tentang Hillary – mereka dengan jelas menyatakan bahawa ‘tidak seorang pun dari kami akan mengundi Donald Trump. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA