50 sertai ekspedisi berbasikal

50 sertai ekspedisi berbasikal

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seramai 30 pengayuh basikal dari Jom Kayuh Petronas Malaysia yang berpengkalan di Labuan petang tadi tiba di negara ini bagi menyertai ekspedisi berbasikal sejauh 50 kilometer.

Rombongan bersama 20 pekayuh dari Kelab Root River Cycling Brunei Darussalam (RRC) telah memulakan ekspedisi dari Terminal Serasa menuju Kampung Perpindahan Katok di Gadong.

Ekspedisi kali kedua di negara ini yang dianjurkan oleh kelab RRC merupakan ekspedisi balas selepas kelab RRC mengunjungi Labuan tahun lalu.

Menurut Ketua Rombongan Jom Kayuh Petronas, Haji Sabtu bin Salim, rombongan tersebut berada di negara ini selama tiga hari dan para peserta merasa teruja untuk memulakan ekspedisi menjelajah sebahagian kawasan di negara ini.

Pengayuh basikal dari Jom Kayuh Petronas Malaysia bergambar ramai bersama Kelab RRC.
Pengayuh basikal dari Jom Kayuh Petronas Malaysia bergambar ramai bersama Kelab RRC.

Pada kunjungan kali pertama tahun lalu, persatuan tersebut menjelajah hampir 30 kilometer dari kawasan Gadong menuju Jerudong. Kali ini, penganjur menetapkan laluan ekspedisi dari Muara hingga ke Gadong, jelasnya.

Menurutnya lagi, peserta Jom Kayuh Petronas juga semakin bertambah dan berharap agar ekspedisi seumpamanya akan diteruskan dari masa ke semasa.

Sementara itu, ketua pasukan RRC, Awang Arbi bin Haji Ahmad, menyambut baik kedatangan rombongan Petronas, bahkan mempelawa persatuan atau kelab lain yang ingin menyertai ekspedisi yang dianjurkan.

Selain melakukan latihan fizikal berbasikal, ekspedisi juga bertujuan memperkenalkan negara kepada pelancong luar negeri, disamping menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA