50 sertai Kursus Taklim

50 sertai Kursus Taklim

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Ogos – Kira-kira 50 orang dalam kalangan ahli-ahli persatuan wanita dan penduduk Daerah Belait yang bukan bekerja dengan jabatan kerajaan telah menghadiri Kursus Taklim yang diadakan selama empat hari di Dewan Unit Dakwah Daerah Belait, di sini.

Diadakan buat kali kedua, kursus berkenaan membawa tajuk ‘Fiqh As Shalah (Sembahyang)’ yang dihasratkan untuk memberikan kefahaman yang mendalam tentang solat, serta bagi mengulang kaji pengetahuan yang ada serta untuk meningkatkan lagi kefahaman sedia ada untuk dapat diamalkan dalam kehidupan dan menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Kursus yang dikendalikan oleh Penceramah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawee itu juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rukun Islam yang kedua iaitu sembahyang, dan meningkatkan kefahaman mengenai hukum hakam sembahyang yang bersesuaian dengan Mazhab Shafie dengan peribadatan yang sempurna, serta untuk menghalusi bacaan dan tatacara (praktik) dalam ibadah tersebut.

Antara pengisian dalam kursus tersebut termasuklah pengertian sembahyang, rukun-rukun sembahyang dan sunat-sunat sembahyang, perkara makruh dan perbezaan lelaki dan perempuan dalam sembahyang, perkara-perkara yang membatalkan sembahyang, sujud sahwi, sujud syukur, dan sujud tilawah.

Selain itu, turut dibentangkan, tentang sembahyang-sembahyang sunat, sembahyang berjemaah, Muafiq dan Masbuq, sembahyang Qasar dan Jama’, sembahyang orang sakit dan menghalusi bacaan sembahyang dan praktikalnya.

Kursus anjuran Pusat Dakwah Islamiah itu telah pun mula diadakan Isnin lalu dan akan berakhir esok (Khamis) dengan majlis penyampaian sijil penyertaan yang mana ia dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong.

Kali pertama kursus tersebut diadakan adalah pada awal bulan Mac lalu dengan membawa tajuk ‘Thaharah’ dan berlangsung di Dewan Kampung Pandan, di sini.

ARTIKEL YANG SAMA