50 tahun mata wang Negara Brunei Darussalam

SEBELUM tertubuhnya Lembaga Matawang Brunei (BCB), Dolar Malaya dan Borneo British telah digunakan di Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura.

Pada 12 Jun 1967, Board of Commissioners of Currency Malaya and British Borneo menyerahkan tanggungjawabnya untuk mengeluarkan mata wang kepada BCB, Board of Commissioners of Currency, Singapore (BCCS), dan Bank Negara Malaysia (BNM), yang masing-masing mengeluarkan ringgit Brunei (BND), dolar Singapura (SGD) dan ringgit Malaysia (MYR).

Pengeluaran mata wang pada tahun 1967 ini merangkumi siri mata wang kertas dalam lima denominasi (BND 1, BND 5, BND 10, BND 50 and BND 100), dan siri duit syiling, juga dalam lima denominasi (1¢, 5¢, 10¢, 20¢ and 50¢).

Kedua-dua siri ini memaparkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Gambar di bahagian belakang siri mata wang ini adalah Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, dan bagi duit syiling pula merupakan pelbagai reka bentuk tempatan, iaitu reka bentuk melambangkan bunga atau kumpulan bunga (1¢), pohon untuk melambangkan burung (5¢), cakar untuk melambangkan haiwan (10¢), corak bujur menegak melambangkan pokok (20¢) dan panji-panji Negara Brunei Darussalam (50 ¢).

Sempena memperingati Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta pada tahun 1992, Lembaga Matawang Brunei  telah mengeluarkan BND25 edisi terhad.
Sempena memperingati Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta pada tahun 1992, Lembaga Matawang Brunei telah mengeluarkan BND25 edisi terhad.

Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang juga telah ditandatangani oleh Negara Brunei Darussalam, Republik Singapura, dan Malaysia pada 12 Jun 1967, di mana mata wang masing-masing boleh diterima pada nilai yang sama atau 1:1.

Negara Brunei Darussalam dan Singapura, sehingga hari ini, masih meneruskan perjanjian ini, di mana di bawah perjanjian ini, kedua-dua autoriti monetari dan bank-bank komersial masing-masing boleh menerima dan membuat penukaran SGD dan BND, dengan nilai yang sama tanpa caj. Perjanjian ini membolehkan BND dan SGD diterima sebagai ‘customary tender’, masing-masing di Singapura dan Negara Brunei Darussalam.

Selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta sebagai Sultan Negara Brunei Darussalam ke-29, siri kedua duit syiling telah dikeluarkan pada tahun 1970 dan tahun 1972 bagi siri mata wang, di mana kedua siri ini telah memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bagi denominasi BND500 dan BND 1,000, gambar baru telah diperkenalkan di bahagian belakang mata wang tersebut, manakala bagi denominasi lain, gambar yang sama dikekalkan.

Pada tahun 1979, BCB telah mengeluarkan set proof coins pertama yang mengandungi duit syiling 1¢, 5¢, 10¢, 20¢, 50¢ dan BND 1. Proof coins adalah duit syiling khusus untuk pengumpul/ penggemar mata wang atau numismatists dan bukanlah untuk diedarkan.

Dari masa ke semasa, BCB juga akan mengeluarkan duit syiling kenang-kenangan dalam pelbagai komposisi termasuk emas, perak dan kupronikel bersempena dengan acara-acara khas.

Seterusnya, siri ketiga mata wang telah diperkenalkan oleh BCB pada tahun 1989, dan di dalam lapan denominasi yang memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bahagian depan dan pemandangan yang bertemakan Kampong Ayer di bahagian belakang.

Ini adalah termasuk denominasi tertinggi bagi mata wang Brunei, iaitu BND10,000.

Sempena memperingati Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta pada tahun 1992, BCB telah mengeluarkan BND25 edisi terhad.

Pada tahun 1993, set duit syiling baru telah dikeluarkan oleh BCB dengan perbezaan reka bentuk yang ketara daripada duit syiling keluaran tahun 1977.

Set keluaran baru ini memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menghadap ke hadapan, manakala set duit syiling keluaran 1977 memaparkan potret berbentuk side profile.

Selain itu, nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga ditukar dari SULTAN HASSANAL BOLKIAH kepada SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH.

Ikuti bahagian kedua nanti untuk mengetahui mengenai mata wang Negara Brunei Darussalam yang seterusnya. Orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk melawat Galeri Mata wang AMBD di Bangunan BCMB, Kompleks Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, yang mempamerkan beberapa jenis koleksi mata wang dari permulaan sejarah mata wang Brunei serta wang syiling dan wang kertas uncut kenang-kenangan.

Galeri ini dibukakan kepada orang ramai dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.30 petang kecuali pada hari Jumaat dari jam 8.30 hingga 11.00 pagi dan 3.00 hingga 4.00 petang, dan di bulan Ramadhan, 8.30 pagi hingga 2.00 petang, kecuali pada hari Jumaat dari 8.30 hingga 10.30 pagi.

(Rencana disediakan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam manakala gambar ihsan Galeri Matawang AMBD)