50 tamat kursus Ta’lim

50 tamat kursus Ta’lim

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 8 Sept – Dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mendalami lagi kefahaman mengenai Rukun Islam yang kedua (sembahyang) termasuk hukum-hukumnya mengikut Mazhab Syafie, Pusat Dakwah Islamiah, melalui Unit Penyebaran Dakwah telah menganjurkan Kursus Ta’lim bagi ahli persatuan-persatuan wanita, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung dan orang perseorangan di daerah ini.

Kursus yang berlangsung selama empat hari berkenaan berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada seramai 50 orang pesertanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Zunainah binti Haji Gunong.

Majlis turut mendengarkan ceramah yang menumpukan kepada Fiqh As-Shalah (Sembahyang) yang disampaikan oleh Ketua Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, Hajah Noraini binti Haji Saman dan Haji Anwari bin Haji Rawee selaku tenaga pengajar.

Antara perisian kursus termasuk definisi dan syarat solat, rukun-rukun dan perkara yang sunat dalam sembahyang dan yang makruh, termasuk perbezaan lelaki dan perempuan dalam sembahyang, jenis-jenis sujud, sembahyang sunat, sembahyang berjemaah, sembahyang Jumaat, Qasar dan Jama’, sembahyang musafir, orang sakit dan di hari terakhir menghalusi bacaan dan tatacara (praktikal) dalam ibadah sembahyang.

Para peserta kursus bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan tenaga pengajar kursus.
Para peserta kursus bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan tenaga pengajar kursus.

Tetamu kehormat dalam ucapannya menyarankan semua peserta untuk tidak belajar setakat ini, malah untuk terus mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain di samping tetap terus menuntut ilmu pengetahuan agama Islam untuk manfaat di dunia dan akhirat.

Dengan adanya bengkel fasa kedua tahun ini, akan dapat meningkatkan kefahaman yang sedia ada di samping mengulangkaji untuk diamalkan dalam kehidupan harian.

Di sini mereka akan dapat menghayati ajaran Islam dengan lebih yakin dalam bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menjadi mukmin yang sejati.

Beberapa orang peserta yang terdiri daripada warga emas dan mualaf, ketika ditemui menyatakan bahawa kursus ini amat berguna untuk menghalusi lagi ibadah harian mereka di samping meningkatkan pengetahuan mereka untuk dikongsi bersama dan saling tegur-menegur sesama ahli keluarga dan kawan-kawan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA