50 terkorban dalam satu serangan bom

50 terkorban dalam satu serangan bom

KABUL, 9 Ogos (AFP) – Satu serangan bom terbaru menggegarkan bandar ini kelmarin menyebabkan angka kematian meningkat kepada sekurang-kurang 50 orang, manakala beratus-ratus yang lain cedera.

Peristiwa itu menjadi hari paling berdarah di ibu negara Afghanistan sejak berakhirnya misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Disember tahun lalu.

Siri letupan yang memusnahkan bangunan dan menyebabkan hospital dilimpahi mangsa tercedera itu merupakan serangan ketenteraan pertama seumpamanya ke atas Kabul sejak pengumuman kematian pemimpin Taliban, Mullah Omar.

Dalam serangan pertama awal pagi kelmarin, sebuah trak sarat dengan bahan letupan memusnahkan pusat bandar Kabul menyebabkan 15 orang awam terbunuh dan 240 lagi cedera.

Kurang 24 jam kemudian, sekurang-kurangnya 20 orang kadet polis terbunuh selepas seorang pengebom berani mati yang memakai uniform polis meletupkan bom kereta di pintu masuk Akademi Polis Kabul.

Penduduk setempat menggantung kain rentang pada bangunan yang telah terjejas oleh letupan bom. – Reuters
Penduduk setempat menggantung kain rentang pada bangunan yang telah terjejas oleh letupan bom. – Reuters

Taliban menafikan penglibatan dalam serangan pertama itu yang berlaku berhampiran sebuah pangkalan tentera di tengah bandar ini tetapi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan kedua.

Letupan dan kejadian berbalas tembakan turut berlaku malam kelmarin di Kem Integrity, sebuah pangkalan berhampiran lapangan terbang yang menempatkan pasukan khas Amerika Syarikat. Insiden itu menyebabkan seorang anggota NATO terbunuh.

Jet-jet pejuang turut kedengaran terbang sekitar pusat bandar Kabul tidak lama selepas siri letupan tersebut.

Kemusnahan terbaharu itu menonjolkan situasi keselamatan yang tidak menentu di Afghanistan di sebalik perjanjian damai dengan Taliban semakin goyah manakala tentera kerajaan berdepan musim panas pertama bertempur tanpa sokongan penuh daripada NATO.

ARTIKEL YANG SAMA