50 wanita hamil dijangkiti Zika setiap hari

50 wanita hamil dijangkiti Zika setiap hari

SAN JUAN, Puerto Rico, 7 Julai – Seramai 50 wanita hamil di Puerto Rico dijangkiti Zika setiap hari, kata pegawai kanan AS semalam, justeru menggesa wilayah di bawah pentadbiran AS itu mempertimbangkan semburan udara untuk mencegah penularan virus bawaan nyamuk.

Saranan itu dibuat ketika Puerto Rico sedang mempertimbangkan sama ada menggunakan semburan racun serangga Naled, satu cadangan yang mencetuskan protes di wilayah itu yang bimbang kesannya ke atas kesihatan manusia dan hidupan liar.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr Tom Frieden memberitahu The Associated Press bahawa semburan udara adalah pertahanan terbaik di pulau itu untuk melawan virus yang boleh menyebabkan microcephaly, kecacatan yang jarang berlaku di mana bayi dilahirkan dengan kepala yang luar biasa kecil dan kerosakan otak.

Beliau berkata, pulau itu tidak mempunyai program kawalan nyamuk bersepadu. Seramai 339 wanita mengandung di Puerto Rico didiagnosis dengan Zika, dan Frieden berkata, ia hanya menunggu masa sebelum seorang daripada mereka melahirkan anak dengan microcephaly.

Secara keseluruhan, Puerto Rico melaporkan hampir 2,400 kes Zika, 44 dimasukkan ke hospital dan satu kematian. Di samping itu, 16 orang didiagnos dengan keadaan lumpuh sementara yang dikenali sebagai Guillain-Barre yang dikaitkan dengan jangkitan Zika. – AP

ARTIKEL YANG SAMA