500 pendatang dikhuatiri lemas

500 pendatang dikhuatiri lemas

ROME, 21 April – Agensi pemantauan pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira 500 pendatang dari Afrika dikhuatiri lemas di Laut Mediterranean pada Rabu selepas saksi menyebut bot yang mereka naiki karam.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Carlotta Sami menyebut dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP bahawa mangsa yang masih hidup terdiri daripada warga Somalia, Sudan, Ethiopia dan Mesir.

Mereka berjaya diselamatkan oleh bot kecil dan melihat sebuah kapal karam di Laut Mediterranean yang dianggarkan meragut nyawa 500 orang.

Mangsa 41 orang yang masih hidup membabitkan 37 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun. Difahamkan kira-kira 100 dan 200 orang berlepas dari Tobruk di Libya dalam jumlah yang besar menaiki kapal yang tidak selamat.

“Di tengah-tengah laut, penyeludup membawa lebih ramai penumpang, memindahkan mereka dengan bot lebih kecil. Oleh kerana terlampau sesak, bot tenggelam,” kata kenyataan itu.

Mereka dipercayai telah hanyut di laut selama tiga hari sebelum diselamatkan oleh kapal kargo Filipina dan dibawa ke Kalamata di semenanjung Peloponnese di selatan Greece.

Daripada mereka yang diselamatkan, 23 adalah warga Somalia, 11 warga Ethiopia, enam warga Mesir dan seorang dari Sudan, menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa mereka telah ditempatkan sementara di sebuah stadium di Kalamata. – AFP