500 penduduk Kudat terima khidmat kesihatan percuma Pfizer

500 penduduk Kudat terima khidmat kesihatan percuma Pfizer

KUDAT, 2 Ogos (Bernama) – Pfizer, sebuah syarikat biofarmaseutikal global mengadakan program ujian saringan kesihatan secara percuma kepada kira-kira 500 penduduk di Kampung Andap Bangau di sini dan beberapa kampung sekitarnya.

Pengurus Bersekutu Komunikasinya Punita Grace berkata program tanggungjawab sosial (CSR) itu bertujuan memberi kesedaran mengenai panduan penjagaan kesihatan dan nutrisi kanak-kanak di samping mengenal pasti masalah kesihatan yang dihadapi masyarakat di kawasan itu.

“Inilah kali pertama para penduduk kampung di sini telah mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan sambutan amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas program ujian saringan kesihatan bersama Pfizer di Dewan Terbuka, di sini.

Beliau berkata kampung yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Pekan Kudat dan 190 kilometer dari Kota Kinabalu itu dipilih kerana ia berjauhan dari pusat kesihatan dan program CSR seperti itu dapat membantu penduduk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

Katanya, setiap tahun Pfizer, yang mempunyai lapan cawangan di seluruh negara, dengan kerjasama pusat kesihatan, akan membantu komuniti setempat yang terpilih untuk memberi maklumat mengenai rawatan dan penjagaan kesihatan diri.

“Antara ujian yang dijalankan termasuk ujian tekanan darah, ujian darah, keseimbangan berat badan, ceramah penjagaan kebersihan, kaunseling dan pemeriksaan payu dara dengan kerjasama Kinabalu Pink Ribbon (KPR),” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Asangku Toyan, 60, berkata penduduk di kawasan itu amat mengalu-alukan kehadiran pihak berkaitan untuk membantu mereka khususnya melibatkan kesihatan.

Katanya dengan adanya perkhidmatan seperti itu, ia akan memudahkan penduduk dan seterusnya mendapat maklumat secara jelas mengenai penjagaan kesihatan khususnya terhadap kanak-kanak.

ARTIKEL YANG SAMA