500 sertai Larian Amal Daerah Belait

500 sertai Larian Amal Daerah Belait

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 24 Jan – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengisi tabung amal dan tabung sukan bagi pembangunan sukan Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait bersama Jabatan Belia dan Sukan cawangan Daerah Belait telah menganjurkan Larian Amal Daerah Belait 2016 yang bermula dan berakhir di Padang Bandaran Kuala Belait, hari ini.

Larian amal yang disertai oleh 500 orang peserta itu juga diadakan untuk menggalakkan serta mengumpulkan semua lapisan masyarakat supaya dapat melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan riadah sebagai salah satu usaha mengamalkan cara hidup sihat di samping mengeratkan lagi tali silaturahim.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelepasan para peserta ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohammad Sunadi bin Haji Buntar yang turut menyertai larian ‘Fun Run’.

Turut hadir menyertai acara tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang lain di daerah ini.

Pemenang Kategori Wanita Terbuka bergambar bersama tetamu kehormat.
Pemenang Kategori Wanita Terbuka bergambar bersama tetamu kehormat.
Pemenang Kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama tetamu kehormat.
Pemenang Kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama tetamu kehormat.
Antara peserta yang menyertai larian itu.
Antara peserta yang menyertai larian itu.

Terdahulu, acara telah dimulai dengan senamrobik dan di akhir larian turut menyaksikan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Dalam larian itu, Awang Sefli bin Ahar telah menjuarai Kategori Lelaki Terbuka 18 Tahun ke Atas yang menerima wang tunai $500 sementara itu Dayang Shazana binti Hamiroldzam pula memenangi Kategori Wanita Terbuka 18 Tahun ke Atas dengan menerima $300. Kedua-dua kategori adalah sejauh 9km.

Selain hadiah kepada para peserta, penganjur juga menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja dan penderma.

ARTIKEL YANG SAMA