500 sukarelawan CE ALAF hadiri taklimat

500 sukarelawan CE ALAF hadiri taklimat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Seramai kira-kira 500 orang sukarelawan akan bertugas semasa Ekspedisi Amal BIBD untuk ALAF 2015 (CE ALAF) dan dalam hasrat untuk memastikan mereka mengetahui dan memahami tugasan serta peranan semasa acara yang akan berlangsung pada 25 Oktober nanti, BIBD telah mengadakan sesi taklimat bersama para sukarelawan yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), baru-baru ini.

Menurut Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat BIBD, Hajah Nurul Akmar, acara amal CE ALAF mendapat sokongan amat menggalakkan daripada para sukarelawan yang terdiri daripada orang ramai, persatuan bukan kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kesemua sukarelawan yang menyokong CE ALAF dan berharap ia akan menjadi satu kejayaan dalam mengutip dana bagi program ALAF BIBD.

Beliau yakin penyertaan menerusi penglibatan semua pihak yang berkepentingan dan juga orang ramai, ia akan menjana kesedaran, meningkatkan jumlah sumbangan yang dapat dikumpul serta menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memberikan peluang pendidikan yang lebih baik kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan di bawah Program ALAF BIBD.

Sebahagian daripada sukarelawan yang menghadiri taklimat kelmarin.
Sebahagian daripada sukarelawan yang menghadiri taklimat kelmarin.

Hajah Nurul Akmar berkata, kerjasama di antara BIBD dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, bukan sahaja akan menyumbang kepada peningkatan sistem pendidikan negara, tetapi juga meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan bukan akademik dalam kalangan komuniti yang kurang bernasib baik.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan harapan bahawa usaha itu akan mengukuhkan lagi kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan kakitangan BIBD, rakan-rakan serta sukarelawan sebagai asas bagi usaha penglibatan sosial di masa akan datang.