5,000 CCTV pantau jemaah haji

5,000 CCTV pantau jemaah haji

MEKAH, 22 Sept (Agensi) – Kerajaan Arab Saudi memasang sebanyak 5,000 televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memantau jemaah haji apabila kira-kira tiga juta orang tiba untuk mengerjakan ibadah berkenaan tahun ini.

Selain CCTV, sejumlah 100,000 anggota keselamatan turut dikerah bagi memastikan musim haji berjalan lancar.

Perkembangan itu berlaku selepas Arab Saudi menjadi sasaran serangan kumpulan pengganas militan termasuk militan Islamic State (IS).

Sekitar tiga juta umat Islam dari seluruh dunia dijangka berada di Mekah sepanjang ibadah haji yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini.

Bilangan sebegitu ramai jemaah yang turut berdepan ancaman IS memerlukan pasukan keselamatan yang besar bagi mengawasi keselamatan mereka.

“Kami sentiasa memberi tumpuan kepada ibadah haji memandangkan mungkin wujud ancaman terhadap jemaah haji,” kata Mejar Jeneral Mansour al-Turki di pusat keselamatan Kementerian Dalam Negeri di Mina.

Musim haji tahun ini menyusul selepas serangan IS di Arab Saudi semakin meluas.

Satu serangan pengebom berani mati oleh IS ke atas sebuah masjid yang terletak di pekara­ngan ibu pejabat polis di bandar Abha, kira-kira 560 kilometer dari Mekah pada bulan lalu menyebabkan 15 orang terbunuh.

Serangan itu merupakan yang terburuk ke atas pasukan keselamatan Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu.

Pasukan keselamatan yang dikerah mengawasi perjalanan ibadah haji pada tahun ini terdiri daripada unit elit antikeganasan, polis trafik dan kakitangan kecemasan pertahanan awam.

“Mereka disokong tentera tambahan daripada angkatan tentera dan pengawal kebangsaan,” jelas Mansour.

Di pusat kawalan Kementerian dalam Negeri, polis memantau berpuluh-puluh paparan daripada 5,000 CCTV yang dipasang di sekitar Mekah dan Madinah, dua bandar utama yang dilawati jemaah haji.