51 kapal nelayan laut dalam dilesenkan di Sabah

KOTA KINABALU, 12 Jan – Sebanyak 51 kapal nelayan laut dalam telah dilesenkan Jabatan Perikanan Sabah dan masih aktif serta diusahakan oleh 11 syarikat tempatan, kata Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Ahemad  Sade.

Katanya daripada jumlah berkenaan, 18 kapal adalah buatan tempatan manakala 33 lagi merupakan kapal buatan Vietnam digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan Sabah yang telah mendapat kelulusan permit menggunakannya sebelum 2015.

“Walau bagaimanapun, bermula tahun 2015, perolehan kapal-kapal buatan dari luar negara seperti buatan Vietnam, Filipina, Taiwan, China dan Brunei tidak dibenarkan lagi tetapi kapal-kapal buatan luar negara yang telah mendapat kelulusan sebelum tahun 2015 masih dibenarkan beroperasi,”katanya.

Daripada 51 kapal laut dalam ini juga katanya, tujuh kapal mengoperasikan peralatan pukat jerut, pukat tunda (11) dan rawai (33) dan kapal-kapal berkenaan hanya dibenarkan beroperasi di dua zon operasi iaitu sama ada di Zon Pantai Barat atau Zon Tawau pada jarak 30 batu nautika dan ke atas dari pantai.

Ahemad mengeluarkan kenyataan berkenaan hari ini berikutan kenyataan seorang pemimpin parti pembangkang di Sabah yang mempersoalkan perlesenan kapal perikanan ikan laut dalam termasuk kehadiran bot-bot nelayan asing di perairan Sabah di dalam laporan akhbar tempatan hari ini.

Bagaimanapun kata  Ahemad, berdasarkan hasil kajian taksiran sumber perikanan yang telah dijalankan di perairan Sabah baru-baru ini menunjukkan sumber perikanan laut dalam terutamanya spesies ikan pelagik masih berpotensi luas untuk diteroka.

Justeru katanya, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Perikanan Sabah amat mengalu-alukan dan memberi sokongan kepada  mana-mana pihak pelabur atau syarikat yang berminat untuk menceburi bidang industri perikanan  laut dalam.

Walau bagaimanapun katanya kriteria dan prosedur semasa mestilah dipatuhi sebelum sebarang pertimbangan untuk kelulusan diberikan kepada syarikat.

Sementara itu, Ahemad berkata bermula tahun 2015, semua kapal laut dalam di Sabah diwajibkan memasang alat Unit Pengesan Mobil (MTU) yang boleh membantu mengesan pergerakan dan kedudukan kapal-kapal di laut semasa beroperasi dan berfungsi sama seperti Sistem Pemantauan Kapal (VMS).

“Setakat ini, sebanyak 40 buah kapal telahpun memasang alat MTU tersebut manakala 11 buah lagi sedang dalam proses pemasangan. Selain daripada alat MTU, satu penanda khas juga dipasang pada setiap kapal bertujuan untuk memberi pengenalan khas terhadap setiap kapal yang telah dilesenkan secara sah,” katanya.

Di samping itu kata  Ahemad, Jabatan Perikanan Sabah juga telah mewajibkan pemasangan sistem  “Intruder Intervension Vessel Monitoring System” (iiVMS) ke atas kapal-kapal perikanan komersial seperti kapal pukat tunda dan pukat jerut dan setakat ini iiVMS telah dipasang pada kira-kira 150 kapal perikanan komersial.

Katanya pemasangan MTU dan iiVMS berkenaan boleh membantu dan memudahkan agensi penguat kuasa di laut terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga serta Jabatan Perikanan Sabah sendiri mengenali dengan cepat operasi kapal-kapal yang sah di laut.  – Bernama