51 orang menerima lantikan PK

51 orang menerima lantikan PK

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Penghulu dan ketua kampung merupakan ejen penting dalam memberi bantuan dan kerjasama kepada Pasukan Polis Diraja Brunei ke arah melaksanakan program Pengawasan Kejiranan (PK).

Sehubungan dengan itu, seramai 51 orang penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara telah menerima sijil lantikan sebagai wakil-wakil PK di daerah ini, pada majlis yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Penyampaian sijil-sijil lantikan telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Lantikan berkenaan merupakan pelantikan rasmi daripada Pasukan Polis Diraja Brunei mengikut penapisan-penapisan kriteria yang diberikan dengan tempoh keahlian lima tahun.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei juga menghantar beberapa orang ahli ke Singapura untuk mempelajari Kepolisian Komuniti yang digunakan di sana, kemudian diguna pakai di negara ini.

Sesi bergambar ramai para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang telah dilantik.
Sesi bergambar ramai para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang telah dilantik.

Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei-Muara, Superintenden Husaini bin Haji Mat Zain semasa ditemui menjelaskan, tujuan utama lantikan berkenaan adalah sebagai rombakan dan langkah penyusunan semula ahli-ahli yang telah bersara.

Dengan ini, tambah beliau, pihak mereka akan menjalankan strategi pencegahan jenayah mukim dan kampung secara lebih berkesan dan mantap.

Strategi itu termasuk menyediakan program-program keselamatan penduduk, menjalankan rondaan polis bersama penduduk ke kawasan-kawasan yang sering berlakunya jenayah, mengetahui kedudukan sesebuah kampung dan strategi penurunan kadar jenayah termasuk mendengar permasalahan penduduk kampung.

Menjelaskan mengenai program ini, beliau berkata Pengawasan Kejiranan telah ditubuhkan sejak 1989 dan sejak itu, pelbagai perubahan telah dibuat mengikut pertukaran zaman moden dengan teknologi canggih masa ini seperti jenayah siber dan menggunakan alat teknologi tinggi untuk mencuri.

“Dengan adanya Pengawasan Kejiranan ini, ia dapat menjaga keselamatan dan keamanan kampung; Selain keselamatan kampung, pihak polis juga akan menilai kadar jenayah di tempat-tempat yang dilaporkan,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA