51 pelajar ITQSHHB khatam Al-Quran

51 pelajar ITQSHHB khatam Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Seramai 51 orang pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) hari ini diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran di musala institut itu.

Mereka terdiri daripada 20 peserta lelaki dan 31 peserta perempuan dari peringkat menengah, Diploma ‘Aliyah Qiraat, Lepasan Tahfiz dan Pengajian Kategori C (kelas untuk orang awam) yang telah menamatkan hafalan 30 Juzuk Al-Quran di hadapan mu’allim dan mu’allimah.

Menurut Pemangku Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, peserta khatam merupakan pelajar yang telah mengkhatamkan hafazan mereka dalam tempoh 1 Mac 2015 hingga 29 Februari 2016 di hadapan guru masing-masing.

Para pelajar ITQSHHB ketika memperdengarkan bacaan surah-surah lazim Al-Quran.
Para pelajar ITQSHHB ketika memperdengarkan bacaan surah-surah lazim Al-Quran.

“Ada kalangan pelajar diraikan ini masih berada dalam Tahun 9 Pengajian Menengah dan menghafaz Al-Quran dengan hanya mengambil masa kurang daripada tiga tahun. Alhamdulillah yang paling cepat antara mereka menghabiskan hafazan 30 Juzuk Al-Quran adalah dalam masa dua tahun 13 hari sahaja di samping mempelajari mata pelajaran Bahasa Arab, Dirasah Islamiah dan mata pelajaran umum lain. Ini merupakan satu pencapaian yang amat cemerlang,” katanya.

Majlis khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai Pengiran Haji Haslin diikuti bacaan surah-surah lazim oleh peserta. Doa khatam dibacakan oleh seorang siswa Diploma Aliyah Qiraat, Awang Muhd Faizul Amin bin Jasli dan bacaan doa kesyukuran oleh pelajar, Haji Mohd Adi Saufi bin Haji Aminuddin.

ARTIKEL YANG SAMA