51 pelajar politeknik pamer hasil kerja

51 pelajar politeknik pamer hasil kerja

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Seramai 51 orang pelajar Politeknik Brunei (PB) yang mengikuti kursus Diploma Lanjutan dalam Program Reka Bentuk Dalaman mempamerkan hasil kerja kreatif mereka dalam pameran di ruang lobi ibu pejabat, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan bermula hari ini hingga 26 Mei ini.

Majlis perasmian pameran bertema ‘Awaken’ yang mengetengahkan hasil kerja melalui cadangan reka bentuk, analisis, penyelidikan, penerokaan idea dalam 2D dan 3D serta lukisan kontraktual ini telah disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Haji Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah PB, Awang Denis Ho Mun Tai; pemangku penolong pengarah PB, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua sekolah serta pensyarah-pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa PB.

Salah seorang pelajar PB menjelaskan mengenai kerja kreatif yang dihasilkannya.
Salah seorang pelajar PB menjelaskan mengenai kerja kreatif yang dihasilkannya.

Majlis perasmian petang tadi juga diselajurkan dengan penyampaian Sijil dan Anugerah Pelajar Paling Meningkat kepada Dayang Fatin Nursyamimi binti Ahmad; Anugerah Reka Bentuk dan Penyampaian Terbaik kepada Dayang Rashidah binti Haji Yusof; dan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada Dayangku Siti Nurul Nur Ashikin binti Pengiran Junaidi.

Pameran anjuran PB ini mempamerkan projek-projek pelajar dalam reka bentuk yang berkonsepkan riadah, pameran, perkhidmatan, perdagangan dan pendidikan.

Ia dibukakan kepada orang ramai selama tiga hari iaitu 24 dan 25 Mei dari pukul 9 pagi hingga 4 petang dan pada 26 Mei dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

ARTIKEL YANG SAMA