5,126 anak yatim diraikan

5,126 anak yatim diraikan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Seramai 5,126 orang anak yatim di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hari ini menerima sumbangan daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pada Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pada majlis itu, seramai 3,296 orang anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan masing-masing daripada tetamu-tetamu kehormat, manakala itu bagi anak-anak yatim dari Daerah Tutong, Belait dan Temburong pula diwakili oleh pegawai daerah masing-masing yang mana majlis penyerahan derma tersebut akan diadakan di setiap daerah.

Majlis berkenaan merupakan acara tahunan anjuran bersama JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama BIBD pada setiap bulan Ramadan.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan datin, serta Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD.

Pada majlis itu juga, BIBD telah menyampaikan Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang untuk anak-anak yatim yang memperoleh kecemerlangan dalam tiga kategori peperiksaan utama pada tahun 2015, yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.

pg03_160615_b

Pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) menerima baucar tunai berjumlah $500 setiap seorang, manakala pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran Peringkat Biasa (GCE ‘O’ Level) menerima baucar tunai berjumlah $800 setiap seorang.

Jumlah sumbangan yang disampaikan pada majlis itu adalah sebanyak $256,300 daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan kendalian JAPEM dan $65,920 daripada Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara manakala itu, BIBD telah menyumbangkan sebanyak $180,845.

Kadar sumbangan yang dihulurkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui JAPEM adalah tertakluk kepada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan kendalian jabatan berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah sangat digalakkan untuk memberikan sumbangan berbentuk kewangan kepada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan sama ada melalui Urus Setia Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan di JAPEM, Tingkat 2, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, pada waktu pejabat ataupun menghulurkan derma melalui SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan yang telah bermula pada 8 Jun 2016 sehingga 22 Julai 2016 nanti.

Sumbangan berkenaan bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan keperluan harian anak-anak yatim dan juga sebagai persediaan menjelang hari raya ini nanti.

ARTIKEL YANG SAMA