52 atlet taekwondo lulus ujian BDTA

52 atlet taekwondo lulus ujian BDTA

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Seramai 52 orang atlet terdiri daripada golongan belia telah lulus dalam ujian bagi kenaikan tingkat yang telah dijalankan oleh Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam (BDTA) di Dewan Riadah, Pusat Belia, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Presiden BDTA, Haji Tajuddin bin Haji Salleh.

Sebanyak 48 orang daripada kalangan belia berkenaan yang sebelum ini dalam tingkat Tali Pinggang Coklat (Brown Belt) telah dinaik taraf ke Tali Pinggang Hitam (Black Belt) Dan Pertama (1st Dan). Manakala, seorang telah dinaik tingkat daripada Tali Pinggang Hitam Dan Pertama kepada Dan Kedua, dan tiga orang pula daripada Tali pinggang Dan Ketiga kepada Dan Keempat.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Mereka terdiri daripada persatuan-persatuan yang berdaftar iaitu lima orang daripada APEX, empat daripada BSRC, 19 daripada DYNAMIC, tujuh daripada MUMONG, empat daripada RICK, 11 daripada UNITE, seorang dari BDTA dan seorang dari UBD.

Menurut Timbalan Presiden II BDTA, Lim Ting San, tujuan persatuan berkenaan mengadakan acara berkenaan ialah bagi melihat dan juga menilai fizikal, teknik, jurus, dan juga kemahiran di dalam taekwondo sebelum mereka dinaik tingkatkan.

“Sebenarnya taekwondo ini adalah mengajar seseorang itu berdisiplin, merendahkan diri, dan bukanlah untuk dibangga-banggakan,” tambahnya lagi.