52 maut rusuhan di penjara Mexico

52 maut rusuhan di penjara Mexico

MONTERREY, 12 Feb – Lima puluh dua orang maut apabila banduan bersenjatakan batang kayu dan mata pisau bergaduh dan memulakan kebakaran di penjara sesak di utara Mexico.

Dua belas lagi cedera dalam pergaduhan yang berlanjutan 30 hingga 40 minit di penjara Topi Chico di bandar raya perindustrian Monterrey, kata Gabenor negeri Nuevo Leon, Jaime Rodriguez.

Pergaduhan berlaku berikutan perbalahan berhubung penguasaan di penjara itu antara anggota dua kumpulan kartel dadah Zetas yang bermusuhan.

“Mereka menggunakan senjata tajam, batang kayu dan kayu,” kata Rodriguez kepada radio Imagen, sambil menambah penjara berusia 60 tahun itu menempatkan 3,800 banduan yang dipantau 100 pengawal.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, penjara itu mempunyai sel untuk 3,635 pesalah.

Salah seorang banduan diberikan rawatan kecemasan selepas pergaduhan itu. – Reuters
Salah seorang banduan diberikan rawatan kecemasan selepas pergaduhan itu. – Reuters

Salah seorang banduan ditembak mati pengawal penjara yang melindungi sekumpulan wanita. Ketika pergaduhan itu, banduan membakar bilik bekalan dan imej televisyen menunjukkan api menjulang dari penjara itu pada tengah malam. – AFP