52 pain darah berjaya dikumpulkan

52 pain darah berjaya dikumpulkan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Sebanyak 52 pain darah telah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Borneo United Enterprise Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diadakan di Pusat Tabung Darah Hospital RIPAS, di sini, hari ini.

Kempen berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, diadakan kira-kira lima jam, bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dengan melibatkan penyertaan kakitangan syarikat serta orang awam.

Turut menyumbangkan derma darah ialah Pengarah Urusan Borneo United Enterprise Sdn Bhd, Stanley Lim Hock Ghim yang turut memberitahu Media Permata bahawa kempen tersebut merupakan aktiviti tahunan bagi membantu pesakit yang memerlukan dan menambahkan tabung darah di negara ini.

Penyelia Simpanan Darah Hospital RIPAS, Haji Iqmal bin Haji Ismail, semasa ditemui memberitahu Media Permata, keperluan darah sudah semakin meningkat, dengan keperluan sekurang-kurangnya 50 pain sehari.

Sehubungan itu, mereka memerlukan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengadakan kempen derma darah secara berterusan.

Sebanyak 52 pain darah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Borneo United Enterprise dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Sebanyak 52 pain darah berjaya dikumpulkan melalui Kempen Derma Darah anjuran Borneo United Enterprise dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Menurut beliau, hampir setiap hari mereka melaksanakan kempen derma darah, biarpun simpanan setakat ini mencukupi tetapi tabung darah mesti terus ditambah bagi memastikan ia sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Menderma darah merupakan kegiatan yang sihat, ia boleh mengurangkan sekurang-kurangnya sejumlah 500 kalori bagi setiap penderma, dan mereka boleh menderma selepas dua bulan, dan boleh menderma empat hingga lima kali dalam setahun,” katanya.

Beliau menambah, beberapa perubahan ke atas syarat menderma darah telah dilaksanakan sejak 14 Jun 2014, iaitu remaja berusia 17 tahun dibolehkan menderma darah dengan mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa melalui borang yang disediakan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada 18 tahun ke atas.

Sementara itu, berat badan juga telah dikurangkan kepada 45 kilogram berbanding sebelum ini 50 kilogram, yang mana perubahan itu adalah bagi menyasarkan penderma dalam kalangan para belia yang sihat.

Kempen berkenaan telah dikendalikan bersama kakitangan dari Pusat Pendermaan Darah RIPAS dengan diketuai oleh Haji Matusop dan dibantu sama oleh Pegawai Perubatan hospital, Dr. Nway Nang.

ARTIKEL YANG SAMA