52 sertai program motivasi

52 sertai program motivasi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Nov – Bagi membantu meningkatkan motivasi para pelajar khususnya pelajar-pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah 6, seramai 52 penuntut Sekolah Ugama PKN Bukit Beruang telah menyertai Program Motivasi Pelajar di Dewan Kemasyarakatan Mukim Telisai, Bukit Beruang.

Program yang diadakan petang tadi itu diselitkan lagi dengan ceramah motivasi disampaikan oleh Pegawai Pengajian Islam Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Haji Metahir.

Program tersebut adalah salah satu usaha berterusan yang diungkayahkan bahagian berkenaan dalam mempertingkatkan lagi pengurusan dan pentadbiran melalui beberapa inisiatif atau aktiviti serta program ke arah kecemerlangan prestasi sekolah terutama dalam Peperiksaan SSSRU Darjah 6.

Ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pengiran Abdul Razak.
Ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pengiran Abdul Razak.

Selain itu, ia juga dapat membantu mempertingkatkan kualiti pengurusan pentadbiran pemimpin-pemimpin sekolah, memantau pengurusan pentadbiran pemimpin sekolah dalam meningkatkan lagi prestasi para pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan SSSRU Darjah 6.

Turut hadir ialah Ketua Unit Akademik dan Peperiksaan, Haji Sufri bin Amit; Ketua Unit Maklumat dan Perangkaan, Awang Suffrian bin Mohd Jair; Pemangku Pegawai Pengajian Islam, Brunei I, Awang Othman bin Haji Ismail dan pegawai-pegawai khas kanan Jabatan Pengajian Islam.

ARTIKEL YANG SAMA