5,258 kemasukan baru

5,258 kemasukan baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Kementerian Hal Ehwal Ugama mencatatkan kemasukan baru sejumlah 5,258 murid sekolah rendah ke Darjah Pra Sekolah Ugama bagi 2016 di keempat-empat daerah, dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 3,764 murid baru.

Menteri Hal Ehwal Ugama berkata, strategi kementerian tersebut ialah untuk memastikan tidak ada kes murid yang berumur tujuh tahun (Tahun Dua sekolah rendah) tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama menepati kehendak Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata demikian ketika ditemu bual wartawan semasa mengadakan tinjauan ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, hari ini. Katanya, selaras dengan akta itu, ibu bapa diwajibkan untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah agama, maka strategi kementerian tersebut adalah menyediakan segala kemudahan dari setahun ke setahun seperti kemudahan tempat, persiapan guru dan yang penting ialah tidak ada murid yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama.

Menteri Hal Ehwal Ugama ketika beramah mesra bersama cucunya yang baru masuk ke pra sekolah agama itu.
Menteri Hal Ehwal Ugama ketika beramah mesra bersama cucunya yang baru masuk ke pra sekolah agama itu.
Salah seorang murid pra sekolah membaca doa sebelum makan di hadapan Menteri Hal Ehwal Ugama dan timbalannya.
Salah seorang murid pra sekolah membaca doa sebelum makan di hadapan Menteri Hal Ehwal Ugama dan timbalannya.
Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama murid di dalam bilik darjah mereka.
Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama murid di dalam bilik darjah mereka.
Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama murid dan ibu bapa yang mendaftar masuk di sekolah ugama itu.
Menteri Hal Ehwal Ugama beramah mesra bersama murid dan ibu bapa yang mendaftar masuk di sekolah ugama itu.

pg04_160108_j

Beliau menjelaskan, pelaksanaan Perintah itu adalah bagi memastikan generasi Brunei adalah generasi yang sudah mempunyai asas pendidikan agama sekurang-kurangnya sehingga darjah enam kerana sukatan pelajaran darjah satu hingga darjah enam sekolah agama itu adalah bagi melengkapkan murid sebagai seorang Islam yang dapat menunaikan fardhu ain.

Menurutnya, apabila murid tersebut memasuki sekolah menengah subjek Pengetahuan Ugama Islam (PUI) adalah bagi melengkap dan memantapkan pelajaran agama yang sudah mereka pelajari sewaktu di sekolah agama yang ditambah dengan pelajaran mengenai konsep-konsep yang dianjuran oleh agama Islam.

Katanya berdasarkan pendaftaran pada tahun ini adalah seramai 5,258 orang, namun yang sudah mendaftar adalah seramai 5,191 orang, sekali gus menunjukkan hanya 83 orang murid saja yang masih belum mendaftar ke darjah pra sekolah agama.

Beliau seterusnya berharap ibu bapa yang masih belum mendaftarkan anak mereka ke sekolah agama supaya segera berbuat demikian kerana pendaftaran bagi kemasukan murid ke darjah pra di sekolah agama sudah dibukakan sejak bulan April tahun lalu. Yang Berhormat Pehin juga menekankan bahawa Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 bukan semata-mata pendidikan agama, sebaliknya memastikan kesinambungan persekolahan agama di samping sekolah biasa.

Ujarnya, sekolah agama melengkapkan disiplin termasuk cara berpakaian Melayu yang mendidik murid berdisiplin dan berpenampilan sebagai seorang Muslim.

Lawatan beliau yang disertai sama oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan pegawai kanan kementerian diiringi oleh Pengetua sekolah, Dayang Hajah Normah binti Mohd Daud.

Tujuan lawatan itu adalah bagi memastikan perjalanan pendaftaran murid baru pra sekolah bagi tahun ini di semua sekolah agama seluruh negaraberjalan lancar dan teratur.