53 belia sertai Program 3B

53 belia sertai Program 3B

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Nuri Sufri

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Seramai 53 orang belia dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun menyertai Program Belia Brunei Berbakti (3B) anjuran Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) yang akan berjalan selama sebulan mulai hari ini hingga 6 Mac 2016.

Majlis pembukaan rasmi program bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tersebut telah diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan yang turut dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa tertinggi badan-badan bukan kerajaan (NGOs) di negara ini, iaitu Majlis Belia Brunei, Green Brunei, Majlis kesejahteraan Masyarakat (MKM), Majlis AIDS Brunei Darussalam, Society for Community Outreach and Training (SCOT) dan Kelab Sukarelawan Almas.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Surah Al-Quran pilihan serta terjemahannya yang diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden KESAN, Awang Mohd Aidil Firdaus bin Haji Jukin.

Dalam ucapannya itu, beliau berkata, dengan membawa misi “Membangun Syakhsiah Kepimpinan di Kalangan Belia dalam Negara Brunei Darussalam” program ini akan memberi peluang kepada peserta untuk didedahkan kepada gerak kerja dan prosedur-prosedur berurusan secara profesional sama ada dengan pihak kerajaan atau swasta, etika berinteraksi dengan pihak media dan golongan belia.

Awang Mohd Aidil Firdaus ketika berucap di majlis itu.
Awang Mohd Aidil Firdaus ketika berucap di majlis itu.

“Mudah-mudahan pengalaman yang akan dilalui oleh peserta dalam program ini dapat membekalkan mereka dengan pengalaman yang akan membantu mereka di masa akan datang, sama ada di peringkat pengajian tinggi, alam pekerjaan, atau menjalani kehidupan bermasyarakat secara umumnya,” ujar beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program tahunan ini bertujuan untuk memberi impak kepada golongan belia dengan membina kemahiran insaniah serta menanam semangat untuk berbakti kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan menurut kreativiti dan inisiatif belia sendiri. Projek-projek peserta akan dipertandingkan dan dinilai oleh panel hakim semasa majlis penutup yang dijangka diadakan pada 6 Mac nanti.

KESAN merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada Disember 2006 dan dijalankan oleh anak Brunei yang mencintai negara dan ingin menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Sejak penubuhannya, KESAN telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti latihan kepimpinan, bengkel kemahiran insaniah dan kerja-kerja amal.

ARTIKEL YANG SAMA