53 pelajar IBTE tamat kursus teknikal

53 pelajar IBTE tamat kursus teknikal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 29 Nov – Seramai 30 peserta Kursus Perancah (Scaffolders)  dan 13 orang peserta Kursus Pengimpal bagi Kelayakan Kemahiran Industri daripada Institut Pendidikan Teknikal (IBTE) Kampus Mekanikal telah berjaya menamatkan kursus teknikal mereka. Sehubungan itu, majlis penyampaian sijil tamat kursus bagi pengambilan kelima itu telah diadakan oleh Bahagian Pengurusan Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd (JO) di ibu pejabatnya di kawasan Perindustrian Ringan Sungai Bera Anduki, di sini, hari ini.

Penyampaian sijil bagi kedua-dua kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Syarikat JO, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar dan Pengarah Korporat Syarikat JO, Pengiran Mohammed Noor Izzuddin bin Pengiran Omar.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengiran Mohd Noor Joffren antara lain mengingatkan peserta-peserta kursus berkenaan supaya akan terus bergiat gigih dalam menambahkan ilmu dan pengalaman mereka serta menjauhkan sikap lemah semangat dan mudah mengaku kalah dalam menghadapi cabaran terutama sekali dalam senario pekerjaan nanti.

Majlis turut mendengarkan perkongsian pengalaman selama menjalani kursus di pusat latihan syarikat berkenaan oleh wakil-wakil peserta Kursus Perancah dan Pengimpal.

Pengiran Mohd Noor Joffren ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Perancah.
Pengiran Mohd Noor Joffren ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Perancah.

Kursus-kursus tersebut telah dijalankan selama enam bulan di Pusat Latihan JO yang terletak di kawasan Perindustrian Ringan Sungai Bera di sini.

Bagi Kursus Pengimpal, para peserta diberikan latihan untuk peringkat 6G yang mengikut taraf pengimpalan bagi industri minyak dan gas dan peserta yang berjaya dianugerahkan sijil bertaraf antarabangsa yang diiktiraf oleh CSWIP.

Manakala itu, peserta-peserta Kursus Perancah pula diberikan latihan peringkat asas di bawah standard Lembaga Latihan Industri Pembinaan United Kingdom (CITB).

Kadar lulus dalam pengambilan terkini bagi Kursus Perancah dan Pengimpal adalah menggalakkan.

Majlis telah diakhiri dengan sesi bergambar ramai para peserta kursus bersama pengarah urusan dan pengarah korporat syarikat berkenaan serta tenaga-tenaga pengajar pusat tersebut dan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA