54 gegaran susulan sejak gempa

54 gegaran susulan sejak gempa

KUNDASANG, 8 Jun (Bernama) – Sebanyak 54 gegaran susulan direkodkan Jabatan Meteorologi susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd Malik Tussin berkata semua gegaran susulan itu berukuran antara 1.6 hingga 4.5 pada skala berkenaan.

Katanya gegaran berukuran 4.5 direkodkan pada 7.06 malam pada Jumaat.

“Sebenarnya ini keadaan biasa bila berlaku gempa yang sederhana kuat, pasti ada gempa susulan. Cuma kami tidak dapat pastikan berapa lama gempa susulan ini akan berterusan, mungkin boleh jadi sehari atau seminggu dan mungkin berbulan-bulan.

“Kalau mengikut data yang saya perolehi, pada hari pertama iaitu Jumaat sahaja kita lihat ada 30 gegaran susulan, pada hari Sabtu pula 13 gegaran susulan dan semalam 11 gegaran,” katanya kepada Bernama di pusat operasi gempa di Taman Kinabalu di sini, hari ini.

“Memang sebenarnya kita tidak menjangka begini banyak susulan, kami juga tengah cuba mencari punca berlakunya gempa bumi ini,” katanya.

Beliau turut ditanya sama ada gempa lebih besar boleh berlaku berbanding gempa utama.

“Berdasarkan kepada sejarah gempa bumi di seluruh dunia, berkemungkinan berlaku gempa lebih besar daripada gegaran utama namun kebarangkaliannya terjadi agak kecil, antara 5 hingga 10 peratus sahaja,” katanya.