548 pelajar cemerlang diraikan

548 pelajar cemerlang diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Seramai 548 orang pelajar cemerlang telah diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kementerian Pendidikan bagi tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pagi tadi.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut menyampaikan anugerah ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Pengarah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik di Pengurusan Pendidikan Peperiksaan Cambridge Antarabangsa, Dr. Ben Schmidt.

Pelajar-pelajar yang diraikan itu terdiri daripada mereka yang mencapai keputusan cemerlang bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate, BC GCE Peringkat ‘O’, ‘A’ serta Anugerah Cambridge Outstanding Achievers 2015.

Anugerah Cambridge Outstanding Achievers 2015 ini mempunyai empat kategori iaitu Tertinggi di Dunia, Sepuluh Tertinggi di Dunia, Tertinggi di Negara Brunei Darussalam dan Pencapaian Tertinggi dalam pelbagai mata pelajaran bagi BC GCE Peringkat ‘O’, ‘AS’ dan ‘A’.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah kepada salah seorang penerima.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah kepada salah seorang penerima.
Dr. Ben Schmidt menyampaikan anuerah pencapaian cemerlang kepada salah seorang penerima Cambridge Outstanding Achievers.
Dr. Ben Schmidt menyampaikan anuerah pencapaian cemerlang kepada salah seorang penerima Cambridge Outstanding Achievers.

Menurut Pemangku Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Zamain bin Haji Gapar, keputusan PSR 2015 telah menunjukkan peningkatan yang baik terutama sekali dari sudut kualiti berbanding pada tahun sebelumnya di mana 67 peratus pelajar sekolah rendah di negara ini telah mencapai Gred A hingga C dalam lima mata pelajaran.

“Ini merupakan peningkatan pencapaian sebanyak 3.05 peratus berbanding tahun 2014 serta tertinggi berdasarkan kualiti yang pernah dicapai.

Antara pelajar cemerlang yang menerima anugerah mereka kelmarin.
Antara pelajar cemerlang yang menerima anugerah mereka kelmarin.

“Berdasarkan analisa kita ke atas pencapaian calon yang mendapat Gred A hingga C dalam lima mata pelajaran dalam PSR ini, didapati sembilan buah daripada 118 buah sekolah telah dikenal pasti mencapai 100 peratus Gred A hingga C, manakala 72 buah sekolah telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan pencapaian tahun sebelumnya,” ujarnya. Di peringkat BCGCE/IGCSE Peringkat ‘O’ pula, sebanyak 36.77 peratus pelajar telah mendapat lima hingga 13 kredit iaitu membabitkan sebanyak 16 buah sekolah kerajaan yang mencatatkan peningkatan di antara 0.21 peratus hingga 14.53 peratus berbanding pencapaian pada tahun sebelumnya.

Di peringkat lanjutan pula, pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan GCE ‘A’ Level secara keseluruhannya telah menunjukkan pencapaian yang sangat baik dengan peratus pelajar yang mencapai sekurang-kurangnya 1 ‘A’, 2 ‘A’ dan 3 ‘A’ level meningkat berbanding tahun 2014.

Pada majlis itu, penyampaian sijil bagi Anugerah Pelajar Cemerlang PSR dan Anugerah Pelajar Cemerlang BTEC Level 2 Extended Certificate telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, dan penyampaian sijil bagi Anugerah Pelajar Cemerlang BC GCE Peringkat ‘O’, ‘A’ dan Anugerah Cambridge Outstanding Achievers 2015 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan dan Dr Ben Schmidt.

ARTIKEL YANG SAMA