55 kes kemalangan dalam satu minggu

55 kes kemalangan dalam satu minggu

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Sebanyak 55 kes kemalangan lalu lintas termasuk dua yang melibatkan dua kematian telah direkodkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dalam minggu kedua September (8 – 14 Sept) lalu.

Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya minggu kedua September yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei, hari ini, daripada jumlah berkenaan, 35 kes termasuk dua kemalangan yang melibatkan kematian (satu kes kemalangan kereta dengan kereta, satu lagi kemalangan sendiri – kereta) telah dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara, tujuh kes di Daerah Tutong, 12 di Daerah Belait dan Daerah Temburong mencatatkan satu kes.

Sementara itu, dalam laporan hasil penguatkuasaan lalu lintas Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), sebanyak 375 kes melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi 15 operasi dan rondaan penguatkuasaan telah dicatatkan dalam tempoh yang sama.

Daripada jumlah itu, JSKLL Gadong merekodkan 343 kes dengan 11 operasi dan JSKLL Cawangan Batu 3, Belait mencatat sebanyak 32 kes dengan empat operasi.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya sekali lagi diingatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini dan tingkatkan keselamatan ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

ARTIKEL YANG SAMA