55 MPP sertai Latihan Kepimpinan

55 MPP sertai Latihan Kepimpinan

Oleh Abdul Aziz Pandin

 

SERAMAI 55 orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Mukim Sengkurong telah mengadakan lawatan sambil melakukan aktiviti Latihan Kepimpinan di Berakas Garison dan Bolkiah Garison, baru-baru ini.

Lawatan rombongan pelajar yang diketuai guru mereka, Dayang Sharidah binti Jaafar merupakan anjuran Pengurusan Kepimpinan Pelajar sekolah tersebut untuk memberi latihan dan ‘input’ kepimpinan selaras dengan peranan dan tugas mereka.

Ketika rombongan melawat RBAF Saddle Club di Berakas Garison, mereka telah dialu-alukan oleh Pegawai Pengurus Kelab (Stable Manager), PW2 (U) Pengiran Anak Haji Ahmad Rapae bin Pengiran Anak Hanafiah yang turut menjelaskan mengenai pengenalan dan fungsi kelab tersebut.

Para pelajar seterusnya dibawa meninjau ke kelab tersebut untuk melihat bagaimana pengurusan kuda-kuda dilaksanakan, cara atau taktik dalam bidang pengurusan dan penjagaan kuda-kuda seperti aturan pemakanan serta penjagaan keseluruhan kuda-kuda tersebut dari segi kebersihan dan kesihatannya.

Pada kesempatan itu, para pelajar turut diberi peluang untuk menunggang kuda yang bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan keyakinan diri pelajar.

PW2 (U) Pengiran Anak Haji Ahmad Rapae ketika menjelaskan mengenai fungsi kelab tersebut.
PW2 (U) Pengiran Anak Haji Ahmad Rapae ketika menjelaskan mengenai fungsi kelab tersebut.

Setelah selesai, rombongan pelajar kemudian dibawa melawat ke Gimnasium Bolkiah Garison, yang mana di sana mereka telah melakukan aktiviti ‘rock climbing’ dengan tunjuk ajar daripada pelatih-pelatih profesional Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Aktiviti seperti itu bertujuan untuk membantu para pelajar berkenaan cara-cara mengharungi dan menguasai ketakutan agar tahan dari segi mental dan fizikal.

Selain itu, ia juga untuk membina daya kepimpinan yang berkualiti, berdisiplin dan berkaliber, menghasilkan individu yang berkeyakinan dan berketerampilan dalam potensi diri serta membentuk semangat bekerjasama dalam sesebuah organisasi bagi merealisasikan misi dan visi sekolah.

Dengan adanya kegiatan seperti ini, pihak sekolah berharap Latihan Kepimpinan itu akan dapat melahirkan dan menghasilkan para pemimpin yang tahan lasak dan siapsiaga pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA