55 pain darah berjaya dikumpul

55 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Feb – Kelab Rotary Belait (RCB) berjaya mengumpul sejumlah 55 pain darah semasa Kempen Derma Darah yang diadakan di Hospital Suri Seri Begawan, di sini, kelmarin.

Kempen yang merupakan aktiviti tahunan RCB itu dan dikendalikan bersama Unit Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, telah dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan ke atas mereka yang berhasrat untuk menyumbangkan darah bagi memastikan mereka layak menderma.

Presiden RCB, Dayang Helen Tang, memberitahu, kempen itu turut disertai oleh mereka yang pertama kali datang, termasuk ahli kanan kelab tersebut PP Toh Ming, OC Camille Chai dan PE Patrick Lai.

“Kelab kami juga merakamkan penghargaan kepada Syarikat Sahid Sdn Bhd yang telah memberikan sokongan kepada kempen ini, dengan menggalakkan para pekerjanya untuk hadir menyertai kempen dan menderma darah,” katanya.

Warga RCB yang mengadakan Kempen Derma Darah di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Warga RCB yang mengadakan Kempen Derma Darah di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Kempen tersebut tambahnya, adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada kalangan orang ramai tentang pentingnya membantu menambahkan tabung darah negara, khususnya di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.

“Dengan peningkatan penderma setiap tahun akan dapat membantu menambahkan lagi tabung darah, dan kami berharap akan lebih ramai lagi masyarakat di luar sana membabitkan diri dalam kempen serupa ini yang mana ia boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain dan memberi manfaat kesihatan pada diri penderma,” ujarnya.

RCB dijangka akan meneruskan lagi kempen seperti itu sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan mereka di samping aktiviti lainnya yang dapat membantu meringankan beban orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA