56 kumpulan ajaran sesat ancam keselamatan dipantau

56 kumpulan ajaran sesat ancam keselamatan dipantau

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak berkuasa agama sedang memantau 56 kumpulan ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat berkata sekiranya terdapat bukti-bukti bahawa kumpulan terbabit terlibat dalam aktiviti berbentuk militan dan pengganas seperti mula mengangkat senjata, tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Kanun Keseksaan.

“Tindakan-tindakan yang bersesuaian dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak berkuasa tempatan telah pun diambil dari semasa ke semasa untuk menangani kegiatan ajaran sesat sebelum ia menjadi semakin parah,” katanya dalam sesi soal jawab di sini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang ingin tahu setakat mana dakwaan penyelewengan ajaran sesat boleh bertukar menjadi ancaman militan yang berupaya menggugat keselamatan negara.

Masir berkata PDRM tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu ajaran itu sesat atau tidak kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama di negeri-negeri.

Katanya PDRM melakukan penilaian tahap ancaman kumpulan-kumpulan ajaran sesat sama ada mereka berpotensi mengancam ketenteraman awam atau pun tidak.

Beliau menjelaskan, kumpulan ajaran sesat kebiasaannya bermula dengan penekanan terhadap aktiviti pengisian amalan keagamaan dan kerohanian terhadap anggotanya dan mula berubah selepas meraih sokongan dan pengaruh.

“Ketaksuban mereka mula mempraktikkan konsep serta semangat jihad serta syahid yang terpesong, sebagai contoh menyerang atau memusnahkan tempat ibadah agama lain, mengakui mereka adalah tentera Allah dan mengkafirkan serta menghalalkan darah sesama Islam untuk dibunuh,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA