56 PATI ditahan di Sarawak

56 PATI ditahan di Sarawak

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) – Jabatan Imigresen Sarawak menahan 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa serbuan di Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri, sepanjang minggu lepas.

Di Kuching, di bawah Operasi Ikrar, 26 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada dokumen perjalanan dan bekerja tanpa permit.

“Semua mereka dihantar ke Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin Semuja, Serian, kira-kira 60km dari sini untuk siasatan lanjut,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Bintulu, 20 PATI ditahan dalam operasi di rumah kongsi dan tapak pelupusan sampah di sekitar Tanjung Kidurong, Taman Heng dan Taman Kemena Sutera dan mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bintulu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, empat lelaki warga Bangladesh ditahan di Lapangan Terbang Bintulu Isnin lepas berikutan pas lawatan sosial mereka didapati sudah tamat tempoh sahlaku dan mereka kini ditahan di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin Semuja di Serian.

Di Sibu pula menerusi Ops Selera, jabatan itu menahan dua lelaki dan seorang wanita Indonesia yang didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja tanpa permit, manakala dalam satu lagi kes, seorang lelaki warga India ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.