$57 juta tingkat KDNK

$57 juta tingkat KDNK

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah menyediakan peruntukan sebanyak $57 juta untuk membuka tawaran dalam sektor pertanian seperti penternakan ayam, lembu, penanaman sayur-sayuran, bunga, industri makanan, agrimakanan, perikanan, perhutanan dan juga pelancongan.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong pada sesi petang hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara, hari ini berkata, perkara ini sangat penting untuk melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sasaran dibuat ini bukan sahaja bergantung kepada bajet kerajaan, sebagaimana yang saya nyatakan lebih awal, sedaya upaya kementerian akan berusaha untuk tidak bergantung kepada perbelanjaan bagi melaksanakan sasaran yang telah ditetapkan, kebanyakkan melalui tawaran pelaksanaan kepada pihak swasta, termasuk juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melabur, dan juga kepada pihak persendirian serta pelabur asing,” ujar Yang Berhormat Dato Haji Ali.

“Dan ini sebenarnya bukan sasaran yang kosong, sebagai contoh dalam perikanan apabila Yang Berhormat Dato Haji Ali, menyatakan sasaran sebanyak $200 juta, sedangkan masa ini sudah kementerian telah menerima pelabur asing bersama juga BEDB, jawatankuasa pelancongan sedang meneliti cadangan daripada sebuah negara besar untuk membuat pelaburan sebanyak $30 juta bagi perusahaan penternakan ikan dalam sangkar di luar pantai diproses menjadi filet untuk dieksport dan nilai jualan apabila terlaksanakan dalam dua atau tiga tahun dianggarkan sekitar $200 juta,” tambah beliau.

pg05_160315_b

Sehubungan dengan itu, kementerian mempunyai 18 ribu hektar kawasan luar pantai untuk ditawarkan kepada pelabur asing, di mana dua ribu hektar akan diambil oleh pelabur asing berkenaan, dan tinggal 16 ribu hektar lagi untuk dimajukan.

“Jika dua ribu hektar boleh mengeluarkan hasil tahunan sebanyak $200 juta, dan apabila kesemua kawasan ini diusahakan bererti $1.8 bilion akan terhasil. Walau bagaimanapun kementerian tidak akan membuat sasaran $1.8 bilion. Cuma menganggarkan $200 juta sahaja secara konservatif,” tambah Yang Berhormat Dato Haji Ali.

Di samping itu, beliau juga mengetengahkan kawasan-kawasan lain yang ditawarkan kepada para pelabur seperti kawasan pertanian untuk penanaman sayur-sayuran seluas 40 hektar di Kampung Tungku yang dikeluarkan dalam bulan Mac.

Tawaran lain seperti rumah hijau untuk penanaman bunga dan tiga buah rumah hijau Taman Agrotech sudahpun dibuat dan permohonan cadangan (RFP) sudah pun dikeluarkan minggu lepas.

Untuk penternakan lembu, kawasan seluas 80 hektar telah ditawarkan kepada pelabur di Kampung Batang Mitus pada Mac dan April dan kawasan seluas 145 hektar di kawasan yang sama pula akan ditawarkan pada bulan Ogos.

Sementara itu, tawaran pelaburan untuk perusahaan menternak ayam di Kampung Semabat, Temburong di kawasan seluas 200 hektar pula akan keluarkan pada bulan Julai.

Kesemua tawaran ini bukan diusahakan oleh pihak kerajaan tetapi akan diusahakan oleh para pelabur sama ada dari dalam negara atau Pelaburan Langsung Asing (FDI).

ARTIKEL YANG SAMA