57 peserta perdengar bacaan Al-Quran di peringkat separuh akhir

57 peserta perdengar bacaan Al-Quran di peringkat separuh akhir

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Seramai 57 orang peserta terdiri daripada 40 orang qari dan 17 orang qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1438H/2016M yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Pertandingan berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di mana pada hari pertama hari ini, seramai 25 orang peserta iaitu 18 qari dan tujuh qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing diikuti dengan 25 peserta esok dan tujuh orang lagi pada hari berikutnya.

Musabaqah berkenaan merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Penganjuran musabaqah ini dihasratkan agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat berjinak-jinak dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diadakan secara berperingkat-peringkat iaitu peringkat zon masjid, suku akhir kebangsaan, separuh akhir kebangsaan dan peringkat akhir kebangsaan.

Salah seorang peserta mempersembahkan bacaannya.
Salah seorang peserta mempersembahkan bacaannya.

Daripada 57 peserta di peringkat separuh akhir ini, seramai 47 orang peserta terpilih melalui Musabaqah Peringkat Suku Akhir Kebangsaan yang diadakan di Masjid Kampung Belimbing Subok, manakala itu, 10 orang peserta lagi terpilih pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1437H/2015M pada tahun lepas.

Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Cenderamata Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1438H/2016M akan berlangsung pada 24 November ini jam 2 petang di tempat yang sama.

Projek ini dihasratkan untuk memajukan dan mengembangkan lagi bidang Al-Quran supaya akan dapat mendorong masyarakat ke arah celik Al-Quran sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah, doa untuk memohon kepada-Nya serta peringatan supaya jauh daripada kelalaian.

ARTIKEL YANG SAMA