57 peserta terpilih sertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran

57 peserta terpilih sertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Seramai 57 orang peserta terpilih memperdengarkan hafazan mereka dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 2016 bagi lima kategori yang diadakan selama tiga hari, bermula kelmarin, di Dewan Kuliah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) di ibu negara.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 14 orang peserta (enam lelaki dan lapan perempuan) berumur 10 tahun ke bawah akan bertanding dalam kategori A yang terdiri daripada surah-surah pilihan dari Juzuk 30 iaitu Surah Al-Buruuj, Surah Ath-Thariq, Surah Al-A’laa, Surah Al-Ghasyiyah, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-Lail dan kompilasi surah-surah lazim yang bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Qadr.

Dalam Kategori B pula, tujuh orang peserta (tiga lelaki dan empat perempuan) berumur 15 tahun ke bawah dan tidak menuntut di ITQSHHB mempertandingkan hafazan dari surah-surah pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yassin, Surah Al-Insaan, Ar-Rahmaan, Surah Al-Waqiah, dan Surah Al-Mulk berserta pemahaman Surah Al-Jumuah, Surah Al-Munafiquun dan Surah At-Talak.

Sementara itu, seramai 14 orang peserta (lapan lelaki dan enam perempuan) pula terpilih untuk bertanding dalam Kategori C iaitu menghafaz tiga juzuk dari Juzuk 1 hingga Juzuk 3 berserta pemahaman Juzuk 3. Kategori ini terbuka bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juzuk.

Salah seorang peserta yang memperdengarkan hafazan semasa musabaqah tersebut.
Salah seorang peserta yang memperdengarkan hafazan semasa musabaqah tersebut.
Antara pelajar ITQSHHB yang hadir menyaksikan acara tersebut.
Antara pelajar ITQSHHB yang hadir menyaksikan acara tersebut.

Bagi Kategori D pula, seramai 12 orang peserta (lapan lelaki dan empat perempuan) akan menghafaz 16 Juzuk Al-Quran iaitu dari Juzuk 1 hingga Juzuk 15 berserta pemahaman Juzuk 10 bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 20 dan 30 Juzuk.

Bagi Kategori A,B,C dan D berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang tidak menjadi johan selama dua tahun berturut-turut.

Manakala itu, seramai 10 orang peserta (tujuh lelaki dan tiga perempuan) akan bertanding dalam Kategori E, di mana mereka akan menghafaz 30 Juzuk Al-Quran iaitu dari Juzuk 1 hingga Juzuk 30 berserta pemahaman Juzuk 21.

Kategori ini dibukakan kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam Kategori menghafaz 30 juzuk. Peserta yang pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut boleh menyertai Musabaqah semula iaitu selepas dua tahun musabaqah diadakan.

Menurut pihak penganjur, pengumuman keputusan dan penyampaian sijil musabaqah akan diadakan esok di dewan kuliah institut berkenaan.

Manakala itu, pengumuman peserta pada setiap kategori yang berjaya mara ke peringkat akhir kebangsaan akan diadakan kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA