57,000 kotak kurma untuk penduduk Belait

57,000 kotak kurma untuk penduduk Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Jun – Lebih 57,000 kotak kurma jenis Safawy Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah diserahkan kepada Jabatan Daerah Belait untuk diagih-agihkan kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Belait.

Kurma berkenaan kemudiannya akan diagih-agihkan kepada penduduk mukim dan kampung yang beragama Islam, dan Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malik bin Abu Bakar merupakan antara yang telah melakukan pengagihan kepada anak-anak buah di kampungnya.

Penduduk di daerah ini yang beragama Islam tanpa mengira usia dan dari apa jua bangsa serta kerakyatan boleh mendapatkan kurma-kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan mendapatkannya di rumah-rumah penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di mana mereka menetap.

Pelancaran pengagihan kurma kurnia peribadi Baginda Sultan ini telah diadakan di Dewan Chansellor Universiti Brunei Darussalam, kelmarin, bersempena Bulan Ramadan Tahun 1435H/2015M di negara ini.

Buah Kurma atau Tamar boleh dimakan sama ada apabila ia sudah masak atau masih mentah, yang mana ia dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang sebahagiannya sudah terbukti secara saintifik.

Haji Abdul Malik ketika menyampaikan agihan kurma kepada anak-anak buah di kampungnya.
Haji Abdul Malik ketika menyampaikan agihan kurma kepada anak-anak buah di kampungnya.

Malah dalam kitab suci Al-Quran sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang Kurma, Baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam sendiri juga telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan ia amat sinonim dengan kisah sirah Baginda.

Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah kira-kira 2.5 peratus, serat 8.0 peratus manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, sehingga 63 peratus, majoritinya adalah glukosa.

Lemak yang terkandung di dalamnya pula sangat sedikit iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, natrium (sodium), kalium (potassium), vitamin A, C dan niasin.

ARTIKEL YANG SAMA