579 baju diterima untuk anak-anak yatim

579 baju diterima untuk anak-anak yatim

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Bazar amal ‘1 Baju, 1 Senyuman’ yang berlangsung dari 3 hingga 7 April kemudiannya dilanjutkan sehingga 10 April, telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak $3,233 dan menerima 579 pasang baju termasuk baju Melayu dan baju kurung yang akan didermakan kepada anak-anak yatim untuk Hari Raya nanti.

Sehubungan itu, penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini, di mana Pengarah Urusan Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak, Haji Syed Anayatullah Shah menyerahkannya kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Majlis itu juga menyaksikan penyerahan tekstil oleh Pengurus Battle Pro Event Management, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah kepada Awang Misle untuk diserahkan kepada Haji Syed Anayatullah Shah.

Semasa temu bual media, Haji Syed Mohd Yassin memberitahu bahawa bazar amal berkenaan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan hingga terpaksa dilanjutkan atas permintaan ramai.

Haji Syed Anayatullah Shah menerima replika 579 helai kain untuk dijahit daripada Awang Misle.
Haji Syed Anayatullah Shah menerima replika 579 helai kain untuk dijahit daripada Awang Misle.

“Keuntungan yang diterima sebanyak $3,233 telah digunakan untuk membeli tekstil untuk anak-anak yatim dan berharap untuk melihat respons positif daripada orang ramai bagi acara yang akan datang dan kami berharap untuk menjalankan projek dan acara-acara lain dengan konsep yang sama pada masa akan datang,” jelasnya.

Pada majlis itu juga, anak-anak yatim diberi peluang memilih warna kain diikuti sesi ukuran badan untuk membuat baju Melayu dan baju kurung.

“Baju-baju yang telah diukur dan dipilih oleh anak-anak yatim itu akan siap dalam masa satu hingga dua minggu dan boleh dipakai pada Hari Raya nanti,” tambahnya.

Bazar amal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan senyuman dan pakaian baru selain mengutip derma untuk Tabung Anak-anak Yatim Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA